Subscribe:

Ads 468x60px

`

Featured Posts

Rabu, 1 Januari 2014

Langkah Penjimatan Kerajaan... Akhirnya.

Pertama sekali, penulis mengucapkan Selamat Tahun Baru 2014 kepada semua rakyat Malaysia dan kepada semua yang membaca nukilan di blog ini. Pastinya ramai sudah mengetahui akan langkah penjimatan kerajaan yang baru sahaja dibentangkan di Parlimen di ambang tahun baru. Ia menampilkan 11 langkah-langkah pengurangan kos elaun keraian Menteri, Pegawai Kanan dan juga pengurangan kos agensi-agensi badan kerajaan. Tahniah kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib kerana akhirnya beliau mengambil langkah untuk mengurangkan kos perbelanjaan. Ada yang menyambutnya dengan gembira dan ada juga yang tersenyum sinis.


Pihak yang tersenyum sinis sudah pastilah kerana melihat bahawa Pentadbiran Najib akhirnya membuat sesuatu perubahan sebelum terlambat, walaupun ianya dilihat ibarat Jilat Ludah Sendiri akan apa yang sudah dilakukan pada sidang Parlimen sebelumnya. Usul untuk pengurangan kos dan perbelanjaan ini telah dibentangkan oleh Ahli Parlimen Kuantan di Parlimen untuk memotong perbelanjaan yang dianggap tidak perlu dan tidak munasabah terutama jika dibuat untuk kepentingan parti-parti siasah tetapi menggunakan duit rakyat. Ia adalah suatu pembaziran yang nyata. Namun, usul tersebut telah ditolak mentah-mentah oleh Ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional. Terutamanya dengan sikap Ahli Parlimen Kinabatangan dengan kenyataannya di Parlimen "Haram, Haram, Haram... Tipu, Tipu, Tipu". Walaupun ianya adalah satu debat di Parlimen, memang agak melucukan bagaimana seorang yang sudah berada di Parlimen begitu lama masih berperangai ibarat pelajar tadika yang dilantik menjadi Ahli Parlimen.


Tindakan langkah penjimatan dengan mengurangkan kos operasi adalah satu tindakan yang bijak daripada Pentadbiran Najib. Namun sebenarnya ia masih belum cukup. Apa yang rakyat mahu lihat dan dengar adalah, sama ada Pentadbiran Najib mampu untuk mengumumkan pengurangan harga-harga barangan keperluan seperti Petrol dan Diesel daripada harga sekarang ini. Berfikirlah dengan matang wahai kerajaan. Dengan masuknya ke tahun baru 2014, tempoh anda untuk bertindak bijak masih berbaki 4 tahun sahaja lagi.

Isnin, 30 Disember 2013

Alahai Pak Menteri...

Tahun 2013 sudah pun sampai ke penghujungnya dan 2014 bakal menjelang. Bagi tahun-tahun sebelum ini, selalunya ramai orang akan menyambutnya dengan rasa yang gembira dan siap dengan azam tahun baru, walaupun tak pernah satu pun yang tertunai. Namun, dengan pengumuman-pengumuman Kerajaan Persekutuan untuk menaikkan harga-harga barangan keperluan seperti bil elektrik, harga tol, harga minyak dan lain-lain lagi menyebabkan suasana untuk sambutan 2014 daripada gembira bertukar hiba. Dan itu juga adalah punca mengapa ada sebahagian rakyat cuba untuk berhimpun berdemonstrasi secara aman sebagai bantahan kepada tindakan kerajaan itu.

Namun, di dalam suasana politik Thailand yang sedang panas disebabkan oleh usaha-usaha untuk menggulingkan kerajaan pusat di bawah pimpinan Yingluck Shinawatra, ada pihak cuba mengambil kesempatan untuk menyamakan demonstrasi tersebut dengan mengatakan ia merupakan satu percubaan untuk 'Menggulingkan Kerajaan Persekutuan'. Pertama sekali kita perlu ingat bahawa, rakyat Malaysia sedar, faham dan cukup pertimbangan untuk tidak menumbangkan kerajaan yang sedang mentadbir. Dan dalam sejarah Malaysia sejak 1963, tidak ada kerajaan memerintah ditumbangkan oleh pihak Pakatan Rakyat (Walaupun ada dilakukan oleh Barisan Nasional seperti di Terengganu pada 1960, di Sabah pada 1994 dan di Perak pada 2009 di mana mereka pada waktu itu menjadi pembangkang di negeri-negeri terbabit).

Jika diteliti semula, perhimpunan tersebut ada asasnya kerana rakyat hanya cuba untuk meluahkan perasaan tidak senang hati terhadap kenaikan kos saraan hidup yang semakin meningkat. Ditambah pula dengan Pentadbiran Kerajaan Persekutuan sekarang yang tidak semengah. Penulis bagi pihak yang berstatus Mahasiswa Universiti merasakan yang tahap intellektual kami ini dicabar dengan ulasan-ulasan wakil rakyat bertaraf Menteri yang ibarat "Orang kampung tak berpendidikan menjadi Menteri". Gambar di bawah ini adalah jawapannya.


Sila lihat komen-komen tersebut. Penulis pernah mendengar komen-komen itu sejak dahulu lagi. Mungkin komentar tersebut boleh diterima bagi mereka yang tidak berpendidikan tinggi. Tapi cuba anda bayangkan komen-komen di atas. Contohnya komentar dari Wahid Omar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri mengenai kenaikan harga tol.

"Kalau tak nak bayar tol, guna jalan biasa.."

Sekarang anda cuba fikir, jika anda tinggal di Puchong, bagaimana anda mahu keluar dari Puchong menggunakan jalan biasa? Semua jalan utama untuk keluar dari Puchong bertol! Selain daripada itu juga, mari kita lihat komentar daripada Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan I.

"Kualiti pendidikan Malaysia terbaik daripada US, UK dan Australia"

Kalau betul kami tak kisah Pak Menteri, masalahnya kalau banding dengan Singapura pun kita ketinggalan jauh, janganlah nak sebut pula USA dan UK!

Dan penulis juga berasa bersyukur kerana mantan Perdana Menteri Malaysia kita iaitu, Tun Dr Mahathir masih lagi mampu untuk bersuara menentang sikap kerajaan persekutuan yang suka-suka menaikkan harga barangan sesuka hati.




Dan isu ini adalah yang paling berat.


Bila kita mengadu, mereka akan balas dengan "Kalau tak suka, keluar Malaysia". Kalau kita marah, mereka akan balas dengan "Mereka penderhaka kepada negara, PDRM sila kawal keadaan". Kalau kita diam.. "Rakyat diam tanda setuju lah tu...". Apa yang dijanjikan semua tidak dikotakan, jadi siapa yang salah sekarang? Memang bersesuaian komentar Tun Dr Mahathir mengenai isu ini, "UMNO now is a stupider party".

Walau apa pun yang rakyat buat, penulis merasakan undang-undang di bawah masih digunapakai.

Kerajaan sentiasa betul.

Sabtu, 2 November 2013

Projek IC ; Antara rakyat dan penjenayah di kalangan pekerja asing

Semenjak tahun 2008 lagi, isu lambakan pekerja asing sudah bergema berulang-ulang kali terutamanya di kalangan rakyat Sabah. Lambakan warganegara asing di Negeri Sabah yang ditambah pula dengan isu popular ketika pentadbiran Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-4 pada ketika itu, iaitu Projek IC memberi kesan yang sangat besar. Ketika penduduk Negeri Sabah menguar-uarkan kebimbangan mereka tentang lambakan pekerja asing itu, seorang Menteri di peringkat Persekutuan membalas dengan kenyataan, kehadiran pekerja asing di Sabah tidak memberikan sebarang ancaman atau bahaya kepada negara. Ia diperkukuhkan dengan alasan bahawa mereka berada di Sabah untuk bekerja. Kemuncak kepada peristiwa tersebut adalah pergolakan di Sabah apabila pengikut Jamalul Kiram III yang mengaku sebagai Sultan Sulu menyerang Sabah atas alasan bahawa Sabah adalah milik Sulu. Namun, ianya tidak berhenti setakat itu. Ancaman yang dirasai di Sabah pada awal 2013, telah mula mengancam Tanah Melayu pada akhir 2013.


Kes pembunuhan seorang pegawai bank pada bulan lepas telah membuka mata ramai pihak, sama ada yang sedar atau tidak sedar kesan kehadirang lambakan warga asing di Malaysia. Lebih teruk lagi, mereka bersembunyi di bawah identiti "Warganegara Malaysia" dan mempunyai kad pengenalan biru. Itulah kesan pertama Projek IC, iaitu pada waktu itu warganegara asing yang datang ke Sabah telah diberikan kad pengenalan sebagai seorang warganegara. Sabah menerima kesan langsung daripada Projek IC tersebut iaitu ianya telah mengubah landskap populasi kaum di Sabah. Pada tahun 1960, 3 tahun sebelum pembentukan Malaysia, 33% rakyat Sabah adalah beragama Islam sementara 30% lagi adalah beragama Kristian. Pada tahun 2010, keadaan ini berubah secara dramatik di mana populasi rakyat Sabah beragama Islam di Sabah meningkat kepada 65%. Perubahan yang mendadak ini adalah bukan daripada pertambahan penduduk Sabah melalui kadar kelahiran, tetapi sebaliknya daripada kesan penganugeran kewarganegaraan kepada warga asing, terutamanya daripada Filipina dan Indonesia. Ianya telah menukar identiti unik negeri Sabah pada tahun 1960 di mana penganut agama Islam dan Kristian adalah hampir sama.

Kesan kedua menyusul kepada tragedi berdarah pada Mac 2013 di Sabah kepada tragedi pembunuhan di Tanah Melayu. Persoalannya, bagaimana kesan yang dialami di Sabah memberi ancaman kepada Tanah Melayu?  Jawapannya adalah imegresen. Jika di Sabah, terdapat undang-undang khas kepada rakyat Tanah Melayu untuk memasuki Negeri Sabah, kemasukan dari Sabah ke Tanah Melayu tidak mempunyai sebarang sekatan. Dengan lain perkataan, warga asing yang masuk melalui Sabah dapat secara mudah menyamar sebagai warganegara dan memasuki Tanah Melayu. Kesannya adalah Tanah Melayu menjadi sarang penjenayah di mana mereka boleh bebas untuk masuk (walaupun tidak bebas untuk pulang). Selain daripada itu, setelah melakukan jenayah, imej Negeri Sabah yang tercemar disebabkan oleh 'kad pengenalan' tersebut. Menurut daripada Jabatan Pendaftaran Negara, nombor tersebut juga tiada dalam rekod. Jadi bagaimana mereka boleh mendapat Kad Pengenalan?


Apa yang pasti, tradegi tersebut telah menyebabkan isu tersebut tersebar dan hangat dibincangkan di laman-laman sesawang dan menyebabkan banyak provokasi dan kutuk-mengutuk di antara satu sama lain. Penulis pernah membincangkan akan perkara ini dengan beberapa orang rakan. Apa yang penulis dapat rungkaikan adalah, Kerajaan Malaya pada tahun 1960-an adalah sebuah kerajaan yang boleh diharap. Namun, kerajaan Persekutuan semenjak tahun 1990-an, adalah sebuah kerajaan yang kredibilitinya, boleh dipertikaikan.

Jumaat, 9 Ogos 2013

Hari Kemerdekaan Singapura

Pada hari ini, 9 Ogos 2013 menandakan Hari Kemerdekaan Singapura yang ke 48 selepas ia mendapat kemerdekaan daripada Malaysia. Secara lebih terperinci, kemerdekaan ini diperolehi selepas Singapura disingkirkan daripada Malaysia melalui pindaan Perlembagaan pada tahun 1965 untuk mengelakkan ketegangan kaum di Malaysia selepas berlakunya rusuhan kaum pada tahun 1964. Secara sejarah moden, Singapura merupakan satu-satunya Negara di dunia yang mendapat kemerdekaan penuh tanpa kerelaan dirinya sendiri.




Ke arah perpisahan

Singapura bersama-sama dengan Sarawak, Sabah dan Negeri-Negeri Tanah Melayu menubuhkan Malaysia pada tahun 1963. Namun, pergabungan ini adalah tidak stabil disebabkan beberapa perselisihan faham dan pendapat ideologi di antara pemimpin-pemimpin di antara Negeri Singapura dan Kerajaan Persekutuan Malaysia. Di antara perselisihan faham yang keluar adalah dalam bidang ekonomi, politik, kewangan dan isu sosial. Antara yang dipertikaikan adalah Artikel 153 yang menyentuh tentang Hak Istimewa Orang Melayu. Selain daripada tentang ekonomi dan kewangan yang dilihat menyebelahi orang Melayu, ia juga menyentuh tentang peranan agama Islam sebagai agama rasmi persekutuan walaupun agama lain boleh diamalkan dengan bebas. Di pihak kaum Cina, Barisan Sosialis yang merupakan parti yang menentang Penubuhan Malaysia mengapi-apikan sentimen perkauman. Sementara di pihak Kaum Melayu pula, sentimen tersebut diapi-apikan oleh Kerajaan Persekutuan yang menubuh PAP tidak menjaga kaum Melayu Singapura dengan baik. Keadaan yang tegang ini ditambah dengan sentimen anti-cina daripada luar yang diapi-apikan oleh Indonesia yang pada waktu itu menentang penubuhan Malaysia. Tuduh-menuduh dan kutukan seringkali dimainkan di dalam ucapan kedua-dua belah pihak.

Kerajaan Persekutuan yang dipimpin oleh UMNO sememangnya tidak persefahaman dengan PAP terutamanya dengan slogan "Malaysian Malaysia" yang dicanangkan oleh Lee Kuan Yew. Pertama adalah disebabkan dengan Hak Istimewa Kaum Bumiputera yang juga pro-Melayu dan kemudian adalah dengan kedudukan ekonomi Singapura yang dilihat sebagai satu ancaman kepada Kuala Lumpur yang juga merupakan Pusat Pentadbiran Malaysia. Ketika Persekutuan Tanah Melayu ditubuhkan, politik di Tanah Melayu adalah dibentuk melalui kerjasama di antara kaum Melayu, Cina dan India. Iaitu parti politik bekerjasama di antara satu sama lain namun pada masa yang sama memperjuangkan kepentingan kaum masing-masing. PAP mahukan layanan yang sama ke atas semua kaum di Malaysia. Dalam bidang ekonomi pula, Singapura berdepan dengan pelbagai sekatan ekonomi apabila berdagang dengan negeri-negeri lain di Malaysia dan juga pinjaman kewangan.


Keadaan tegang ini menyebabkan beberapa rusuhan kecil telah berlaku dan seringkali perintah berkurung diisytiharkan untuk meredakan keadaan. Kemuncak kepada peristiwa ini adalah Rusuhan Kaum 1964 yang bertempat di Kallang Gasworks ketika sambutan perarakan Maulidur Rasul diadakan pada 21 Julai 1964. Secara total, 36 orang telah terbunuh dan 556 lain cedera. Terdapat juga beberapa rusuhan-rusuhan kecil selepas berlakunya Rusuhan 21 Julai tersebut. Di pihak luar pula, Indonesia yang telah mengisytiharkan Konfrontasi dengan Malaysia telah menghantar tindakan ketenteraan dan berlakunya pengeboman di Singapura. Sehingga 10 Mac 1965, terdapat 29 bom telah diletak di Singapura dengan yang paling teruk adalah Pengeboman McDonald House di Jalan Orchard yang telah membunuh 3 orang dan 33 yang lain cedera.


Selepas melihat tiada lagi cara untuk mengelakkan pertumpahan darah yang lebih teruk di Malaysia, Tunku Abdul Rahman yang juga merupakan Perdana Menteri Malaysia pada ketika itu telah menasihatkan Parlimen Malaysia untuk menyingkirkan Singapura daripada Persekutuan pada 7 Ogos 1965. Walaupun terdapat beberapa percubaan yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin PAP termasuk Lee Kuan Yew untuk mengekalkan Singapura dalam Persekutuan, Parlimen Malaysia pada 9 Ogos 1965 telah mengundi di mana 126-0 bersetuju akan penyingkiran Singapura dengan 14 wakil rakyat Singapura tidak hadir.


Dan di waktu itu, Perdana Menteri Singapura dengan menangis telah mengisytiharkan Kemerdekaan Singapura pada hari yang sama dan mengucapkan :-

For me, it is a moment of anguish. All my life, my whole adult life, I have believed in merger and unity of the two territories.

Singapura pada waktu itu merdeka dalam keadaan masalah pengangguran memuncak dan ekonomi yang tidak menentu.

Rabu, 7 Ogos 2013

Empayar Langkasuka...?? dan seterusnya..

Baru-baru ini Malaysia dikejutkan dengan berita penahanan 10 orang individu yang mengaku sebagai pengikut kepada Merongmahawangsa II. Penahanan tersebut adalah disebabkan oleh 10 orang individu terbabit mengaku bahawa Merongmahawangsa II merupakan Yang di-Pertuan Agong dan Sultan Kedah yang asli. Atau dengan lain perkataan, pewaris sah Kesultanan Kedah. Penulis secara peribadi memang beranggapan bahawa perkara ini merupakan satu penghinaan yang nyata kepada Institusi Beraja di Malaysia yang baru sahaja mula meningkat reputasi gemilangnya di persada politik Malaysia. Sepatutnya individu-individu terbabit perlu dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup di atas tindakannya tersebut.

Bukan sahaja mengaku sebagai Sultan Kedah yang asli, malahan kelompok yang menamakan diri mereka sebagai Kumpulan Panji Hitam ini juga mengakui yang Merongmahawangsa II ini adalah Raja kepada Empayar Langkasuka Nusantara yang merangkumi wilayah Timur Asia, Nusantara dan Benua Australasia. Tidak cukup dengan pengakuan yang secara jelas menunjukkan ciri-ciri seorang yang tamakkan kuasa dan tahta, dia juga mengakui yang telah memberitahu kepada semua pemimpin besar dunia termasuk Pope Katolik sebelum ini iaitu Pope Benedict XVI telah mengakui kedatangannya mendapat 'baiah' daripada Allah dan itu adalah punca kepada perletakkan jawatannya. Penulis bila mendengar perkara ini amat terkejut, kenapa Pope Katolik dan apa hubungannya dengan Holy See? Wallahualam.

Ketepikan dahulu persoalan bagaimana dia yang hanya duduk di Malaysia tersebut boleh mengenali pemimpin-pemimpin dunia yang tiba-tiba mengenalinya, persoalan tujuan kumpulan tersebut yang dikatakan mahu menubuhkan asas kerajaan kepada Imam Mahdi itu juga boleh dipersoalkan. Ini adalah disebabkan asas kepada kerajaan/jemaah itu adalah diberikan oleh 313 pengikut Imam Mahdi yang Nabi Muhammad S.A.W menggelarkan golongan ini sebagai 'Ikhwan' (Saudara). Mereka ini adalah golongan yang hati mereka sepenuhnya kepada Allah. Mereka ini meminta kebaikan tetapi tidak diberikan. Kemudian mereka berjuang sehingga menang. Mereka ini kemudian diberikan kepimpinan tetapi mereka menolak, dan kemudian mandat tersebut diberikan kepada seorang keturunan Bani Tamim yang mempunyai nama sama dengan Nabi Muhammad S.A.W iaitu Muhammad bin Abdullah. Mereka ini yang disebutkan sebagai golongan yang membawa panji hitam dari arah 'Khurasan'. Khurasan ini merujuk kepada sebuah daerah di Timur Iran. Secara geografinya, ia meliputi sehingga ke kawasan Afghanistan dan Bukhara di Tukmenistan. Secara kebudayaan, kawasan ini berkongsi budaya (serumpun) dengan wilayah Sind dan Hisdustan di Timur. Di zaman awal Islam juga, kawasan Khurasan ini dalam bahasa parsi bermaksud 'Tanah Matahari Terbit', merujuk seluruh kawasan di timur wilayah Parsi.

Tidak diketahui di dalam hadith tersebut pengertian Khurasan mana yang digunapakai, tetapi penulis memegang kepada pengertian kedua iaitu Kawasan Khurasan, Sind, dan Hindustan. Kerana jika dilihat daripada keadaan, mereka memiliki kelebihan dari segi masa menerima Islam. Bukan hendak merendahkan nusantara, tetapi kita walaupun mempunyai kelebihan dari segi kuantiti, tak banyak yang mampu kita lakukan dari segi kualiti iman. Apatah lagi pengorbanan untuk mendapatkan iman seteguh para ikhwan.

Berbalik kepada isu di atas ini, satu perkara yang perlu diingatkan bahawa, anda tidak perlu menjadi seorang raja ataupun menubuhkan kerajaan untuk menjadi pengikut imam mahdi. Dan tentang isu raja nusantara ini, cukup-cukuplah bermimpi di siang hari. Penulis semenjak menjadi penulis blog diraja ini sudah mendapat melihat di ruang maya bukan seorang individu yang berangan dan mengaku sebagai Sultan asli. Apa-apa pun, semoga pihak berkuasa menangani hal ini dengan sewajarnya.

Isnin, 22 Julai 2013

Hari Kemerdekaan Sarawak ke-50


Pertama sekali diucapkan Selamat Hari Kemerdekaan kepada Negeri Sarawak di atas sambutan jubli emas kemerdekaan Sarawak yang ke-50. Mungkin rata-rata masih lagi tidak mengetahui akan hakikat bahawa Negeri Sarawak menerima kemerdekaan yang berasingan dengan Persekutuan Tanah Melayu dan juga Negeri Sabah. Pada 22 Julai 1963, Negeri Sarawak diberikan kemerdekaan penuh oleh British pada waktu itu setelah Perjanjian Malaysia ditandatangani pada 9 Julai tahun yang sama. 47 hari kemudian, Negeri Sarawak bersama-sama dengan Negeri Sabah dan juga Negeri Singapura (juga dikenali sebagai Negeri-Negeri Baru) bersekutu dengan 11 Negeri di Persekutuan Tanah Melayu membentuk Malaysia yang kita kenali pada hari ini pada 16 September 1963. Kemerdekaan Sarawak ini adalah ibarat satu persediaan kepada Pembentukan Malaysia.


Ke Arah Kemerdekaan

Sarawak mendapat kemerdekaannya daripada United Kingdom of Great Britain & Northern Ireland selepas menjadi Tanah Jajahan Mahkota United Kingdom bermula dari 1 Julai 1946. Rajah Putih Sarawak pada ketika itu iaitu Charles Vyner Brooke telah menyerahkan Sarawak kepada British di atas beberapa faktor termasuk tiada sumber kewangan untuk membangunkan semula Sarawak yang terjejas teruk selepas Perang Dunia Kedua, jumlah saraan yang diberikan oleh Kerajaan British dan juga tekanan yang diberikan oleh isterinya sendiri. Isteri Vyner Brooke iaitu Sylvia Brett kecewa kerana anak perempuannya iaitu Dayang Leonora Brooke dihalang daripada menaiki tahta Sarawak oleh Undang-Undang perwarisan tahta Islam. Oleh itu dia berusaha untuk memastikan yang anak saudara Brooke, Anthony Brooke dihalang daripada menaiki tahta Sarawak.


Penyerahan Sarawak kepada British itu ditentang dengan hebat oleh Melayu Sarawak. Antara yang menyokong adalah Raja Muda Anthony Brooke sendiri. Demonstrasi besar-besaran telah dilakukan untuk menzahirkan tentangan kepada penyerahan tersebut, dengan yang terbesar berlaku pada 1 Julai 1947. Penentangan ini mencapai ke kemuncak dengan peristiwa pembunuhan Gabenor British kedua di Sarawak, iaitu Sir Duncan George Stewart pada tahun 1948 oleh Rosli Dhobi, Awang Ramli Amit Mohd Deli, Morshidi Sidek dan juga Bunjang Suntong di Sibu, Sarawak. Mereka merupakan ahli kepada Rukun 13. Rukun 13 ini dianggotai oleh 13 orang daripada ahli Gerakan Melayu Muda Sibu yang bertujuan untuk menyingkirkan semua pegawai eropah dan juga orang Melayu yang menyokong penjajahan British di bumi Sarawak. Tentangan ini disebabkan oleh Rajah Vyner Brooke di dalam Perlembagaan Sarawak 1941 telah menyatakan akan menyerahkan taraf pemerintahan sendiri kepada Negeri Sarawak. Penentangan daripada Rukun 13 ini berakhir dengan British memansuh dan membubarkan kesemua pertubuhan yang menentang penyerahan Sarawak kepada British pada tahun 1950.

Sarawak kekal menjadi Jajahan Mahkota British sehingga 1961 apabila rancangan penubuhan Malaysia diutarakan oleh Tunku Abdul Rahman yang pada ketika itu menjadi Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu. Cadangan Malaysia itu dengan memasukkan sekali Singapura, Sarawak, Brunei dan Borneo Utara di dalam satu kerjasama ekonomi dan politik yang pada ketika itu masih di bawah kuasa British. Di Sarawak, idea penubuhan Malaysia itu ditentang pada peringkat awal. Beberapa parti politik Sarawak pada ketika itu seperti SUPP, SNAP dan Pasok Momogun menentang penubuhan Malaysia. Namun, selepas beberapa lawatan muhibbah pemimpin Persekutuan Tanah Melayu ke Sarawak dan juga timbang tara dari Sarawak ke Persekutuan Tanah Melayu, pemimpin-pemimpin Sarawak seperti di SNAP bersetuju untuk menerima cadangan penubuhan Malaysia.

Suruhanjaya Cobbold yang ditubuhkan untuk mengkaji tahap penerimaan populasi di Borneo Utara, Sarawak dan Brunei. Di Sarawak terpecah kepada 3 iaitu yang bersetuju dengan penubuhan Malaysia, bersetuju dengan penubuhan Malaysia namun mahukan kemerdekaan terlebih dahulu dan ada yang menentang. Namun, ianya kemudian berakhir dengan 70% bersetuju dengan penubuhan Malaysia. Namun Sarawak membentangkan 18-Perkara Sarawak berada di dalam Malaysia. Pada tahun 1962, Pilihanraya negeri telah diadakan dengan beberapa buah parti bertanding seperti SNAP, Berjasa, SUPP dan Pesaka. Di dalam pilihanraya ini, SNAP menang majoriti yang besar dan Stephen Kalong Ningkan telah dilantik sebagai Ketua Menteri Sarawak yang pertama pada Oktober 1962. Dan Stephen Kalong Ningkan telah memainkan peranan yang penting dalam Pembentukan Malaysia.


Pada 21 Julai 1963, Stephen Kalong Ningkan menjadi Ketua Menteri Sarawak secara rasmi dan kemerdekaan Sarawak diserahkan kepada Kerajaan Sarawak di bawah Gabenor Sarawak pada ketika itu iaitu Sir Alexander Waddel sehari kemudian iaitu pada 22 Julai 1963. 47 Hari kemudian, Stephen Kalong Ningkan bersama-sama dengan Gabenor Negeri Sarawak yang baru iaitu Tun Abang Haji Openg berserta dengan wakil dari Persekutuan Tanah Melayu, Khir Johari memasyhurkan pengisytiharan Pembentukan Malaysia di Padang, Kuching, Sarawak pada 16 September 1963.


Selasa, 4 Jun 2013

Akur keputusan Pilihanraya ke-13 ; Antara Titah Diraja dan Sketsa Politik Tanah Air

Setiap kali pada Sabtu minggu pertama di bulan Jun, Sambutan Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong di peringkat Persekutuan akan disambut di seluruh negara. Rakyat Malaysia akan diberikan cuti umum selama sehari. Ia bukanlah sambutan Hari Keputeraan baginda yang sebenar, sebaliknya hanyalah Sambutan Hari Keputeraan Baginda yang sudah ditetapkan untuk setiap tahun. Ini adalah kerana Hari Keputeraan Baginda yang sebenar akan disambut di Peringkat Negeri bergantung dari negeri mana Baginda Tuanku itu berasal. Dan pada tahun ini, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-14, Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah menyambut sambutan yang gilang-gemilang tersebut. Dalam titah baginda, Tuanku menyeru kepada semua rakyat Malaysia supaya akur dengan keputusan PRU-13 yang sudah ditentukan oleh rakyat Malaysia sendiri dan disamping itu, baginda Tuanku juga berharap supaya semua pihak di negara ini memelihara keutuhan sistem demokrasi berparlimen yang diamalkan sejak merdeka.


Ampun Tuanku, Daulat Tuanku! Titah Tuanku itu Patik junjung. Bagi penulis, penulis tiada masalah untuk menerima baik titah Tuanku itu. Apatah lagi yang Barisan Nasional telah pun diberi mandat sekali lagi untuk mentadbir Malaysia selama 5 tahun lagi. Namun, sekali lagi semenjak PRU-12, Pakatan Rakyat yang terdiri daripada 3 parti komponen utamanya iaitu PKR, DAP dan PAS bukan sahaja berjaya menafikan majoriti 2/3 BN di Parlimen, malah menafikan majoriti undi popular terhadap BN. Perdana Menteri Malaysia sekarang ini, iaitu Datuk Seri Mohd Najib walaupun menerima sokongan 133 kerusi di Parlimen, hanya mendapat undi sekitar 47% sahaja daripada pengundi. Selebihnya mengundi kepada Pakatan Rakyat. Bermaksud, PR walaupun tidak mendapat majoriti mudah di Parlimen, sudah mendapat sokongan majoriti pengundi di Malaysia. Seperti yang kita sedia maklum, keputusan PRU-13 telah dibantah besar-besaran oleh PR dengan perhimpunan sudah dijalankan di beberapa tempat di seluruh negara dengan rata-rata kehadiran melebihi 10,000 orang. Sudah tentulah titah seperti itu tidak mendapat tempat di hati Pakatan Rakyat, apatah lagi penyokong mereka.

Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sidang medianya mendakwa bahawa, teks ucapan Yang di-Pertuan Agong tersebut disediakan oleh Barisan Nasional yang sekarang ini terdesak untuk mendapatkan sokongan. Ini juga boleh disaksikan bahawa sudah tentulah Yang di-Pertuan Agong perlu bertindak mengikut nasihat Perdana Menteri yang di mana beliau merupakan Pengerusi Barisan Nasional. Itu adalah dari sidang media Datuk Seri Anwar Ibrahim. Bagaimana pula dengan penyokong PR itu sendiri. Terdapat segelintir daripada mereka yang bertindak biadap terhadap titah diraja itu seperti kes yang ditunjukkan di bawah ini.

Persoalannya adakah tindakah ini satu tindakah yang wajar dan berdisiplin? Sudah tentu tidak.




Bertindak secara bermoral

Pertama sekali, anda tidak boleh bertindak secara membuta tuli terutamanya jika melibatkan institusi beraja di negara ini. Sudah tertulis di dalam Rukun Negara Malaysia iaitu Kesetiaan kepada Raja dan Negara di mana kita sebagai rakyat Malaysia wajib menumpahkan taat setia yang tidak berbelah bagi kepada institusi diraja. Sudah tentulah ia bukan ketaatan atau kesetiaan yang membuta tuli sebaliknya ia satu kesetiaan yang di mana kita ada cara untuk meluahkan jika ada kelopongan atau ketidaksempurnaan di dalam tindakan raja itu sendiri. Menghina atau mempertikaikan tindakan Raja adalah satu tindakan yang biadap. Institusi Beraja bukanlah Pejabat Perdana Menteri yang anda boleh berbicara sesuka hati.

Contohnya, sekiranya anda berada di tempat Datuk Seri Anwar Ibrahim, iaitu di kerusi Ketua Pembangkang di Parlimen, anda boleh dengan mudah meminta mengadap ke hadapan Yang di-Pertuan Agong dan membincangkan atau menghantar petisyen kepada Baginda akan isu yang tersebut. Tapi jika anda fikir, sudah tentulah tidak ada Raja atau Pemerintah yang mahu melihat rakyatnya berada di dalam keadaan tidak tentu hala berada di dalam perhimpunan atau demonstrasi yang tidak berkesudahan tanpa ada penyelesaian. Lihat sahaja apa yang berlaku di Mesir. Sudah berapa tahun Revolusi menjatuhkan Husni Mubarak berlangsung dan keadaan masih tidak berubah dari buruk ke baik (sebaliknya hanya dari buruk ke kurang selesa...).

Negara kita ada meperuntukkan undang-undang bahawa keputusan Pilihanraya boleh dipertikaikan dalam tempoh 21 hari selepas tarikh pengumuman keputusan itu diisytiharkan. Tidak bolehkah pertikaian itu diadakan tanpa keadaan kecoh-kecoh seperti yang sudah berlaku? Mungkin kamu mahu menang secara moral dengan memperlihatkan kekuatan sokongan yang kamu ada. Perkara yang anda boleh lakukan secara senyap-senyap perlukah dilakukan secara bising-bising?

Apap-apa pun, ini hanya pendapat penulis semata-mata sahaja. Bagi kes di laman sosial yang agak biadap itu pula, bagi pandangan penulis, adalah sudah cukup bagi si dia dengan hanya berbicara :-

"Your Majesty, we uphold your request. And we will solved this political issue as efficient as we can.. We only want the best government to serves you.."

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails