Subscribe:

Ads 468x60px

`

Ahad, 2 Jun 2013

Isu dari Hulu Rajang ; Antara Bot Karam dan BR1M

Berita Bot Express karam di Sungai Rajang menghiasi kebanyakan dada akhbar baru-baru ini. Ini tidak dinafikan menjadi satu berita yang mempopularkan sebuah pekan kecil yang berada terpencil di Hulu Batang Rajang. Penulis juga tidak ketinggalan mendengar berita tersebut sebaik sahaja peristiwa hitam itu berlaku kerana penulis bekerja di tapak Empangan Bakun, yang hanya terletak dalam perjalanan 45 minit daripada Pekan Belaga. Memang jaraknya dekat sahaja jika melalui jalan darat, namun jarak yang dekat itu tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya disebabkan ketiadaan laluan jalan darat yang sempurna menghubungi Pekan Belaga dengan dunia luar. Malah bukan Pekan Belaga sahaja, kebanyakan pekan-pekan dan rumah panjang di seluruh Bahagian Kapit tidak mempunyai jalan perhubungan darat yang sempurna untuk menghubungkannya dengan dunia luar kecuali kepada Empangan Bakun dan Sungai Asap.


Apabila berlakunya tragedi di Belaga ini, sekurang-kurangnya ia membuka mata pelbagai pihak akan pentingnya untuk membangunkan kawasan yang amat terpencil tersebut. Pekan Kapit merupakan Pusat Pentadbiran kepada Bahagian Kapit yang majoriti penduduknya terdiri daripada Kaum Iban. Bersempena dengan Perayaan Gawai yang bakal disambut oleh mereka, sudah tentulah ramai di antara mereka yang ingin pulang ke kampung masing-masing. Namun, kemeriahan pulang ke kampung ini terhalang kerana satu-satunya jalan untuk mereka di kawasan tersebut hanyalah Bot Ekspress yang hanya mempunyai 2 penambang sahaja setiap hari. Iaitu satu bertolak dari Sibu ke Bakun dan satu bertolak dari Bakun ke Sibu setiap hari. Dan setiap penambang ini berkapasiti hanya lebih kurang 75 penumpang sahaja. Jadi, di musim perayaan seperti ini, sudah tentulah jumlah penumpang yang ingin menggunakannya meningkat dengan mendadak. Jadi, ini antara beberapa faktor yang menyebabkan tradegi bot ekspress karam tersebut berlaku.

Setakat ini, penulis mendengar 2 jenis cerita di sebalik tragedi tersebut :-
  1. Sikap tamak daripada Juragan Kapal. Juragan Kapal yang membawa bot ekspress tersebut mahukan keuntungan berlipat ganda mengambil penumpang melebihi daripada kapasiti yang sepatutnya. Sehingga 2 kali ganda daripada kapasiti yang sepatutnya.
  2. Sikap tidak sabar penumpang kapal. Kebanyakan penumpang penambang tersebut yang mahu cepat pulang ke kampung. Dikatakan Juragan Kapal enggan membawa penambang yang berlebihan kerana bimbangkan keselamatan kapal tersebut, namun terdapat penumpang yang mengugut Juragan tersebut supaya membawa mereka ke hilir atau dia akan dipukul. Untuk keselamatan, dia terpaksa membawa kapal tersebut melebihi muatan. (namun, boleh difahami sebab trip setiap hari hanya satu kali. Jika kamu terlepas trip hari ini, kamu perlu menunggu keesokan harinya...)
Itu sahaja yang penulis boleh kongsikan di sini. Namun, memang terdapat penyelesaian di balik isu ini di mana Pihak Pentadbiran Persekutuan perlu segera membina lingkaran jalan raya di kawasan tersebut untuk menghubungkan setiap kawasan pedalaman ini. Dan berbicara akan masalah kekurangan jaringan jalan raya di kawasan Hulu Rajang ini, penulis ingin berkongsi akan masalah yang kami sendiri hadapi.

Masalah perkhidmatan awam di Hulu Rajang.
 
Ini berlaku kepada pekerja kami yang terkenal dengan nama AAA. Tapi kami panggilnya dengan namanya iaitu Ajang. Beliau antara mereka yang layak untuk menerima BR1M dari Kerajaan Persekutuan. Namun, perkhidmatan pegawai awam di kawasan pedalaman Sarawak ini amat-amat mengecewakan. Ajang adalah penduduk di daerah Belaga, iaitu salah satu daerah di dalam Bahagian Kapit. Ajang pertama kalinya pergi ke Bandar Bintulu untuk mengetahui status permohonan BR1M-nya. Kemudian, pegawai bertugas menyatakan yang beliau perlu menuntut permohonannya di Pekan Belaga yang terletak hampir 187 km jauhnya daripada Bandar Bintulu. Satu-satunya cara untuk ke Belaga adalah melalui jalan menuju ke Bakun sehingga ke Simpang Menjawah dan kemudian masuk ke dalam sehingga ke Batang Belaga dengan jarak dalam 32km dari simpang menjawah itu. Dan buat masa sekarang, jambatan untuk menghubungkan jalan tersebut ke Pekan Belaga masih belum siap dibina dan anda perlu menyeberang melalui bot penduduk tempatan.

Pertemuan antara Batang Balui (kanan) dan Batang Belaga (kiri) yang membentuk Batang Rajang. Gambar diambil dari Pekan Belaga

Selepas tiba ke Belaga, mereka merujuk permohonan tersebut di pejabat daerah, dan selepas merujuk perkara tersebut di Belaga, pegawai bertugas menyatakan mereka perlu pergi ke Sungai Asap! Untuk pengetahuan anda, Sungai Asap terletak di pertengahan jalan sebelum tiba ke Simpang Menjawah. Jadi mereka perlu berpatah balik ke Simpang Sungai Asap yang terletak dalam 60km jauhnya daripada Pekan Belaga (Perlu menyeberang menggunakan bot semula untuk menyeberangi Batang Belaga) dan menuju ke Sungai Asap, iaitu kawasan penempatan semula rumah panjang kepada semua Kaum Orang Hulu yang dipindahkan selepas kampung mereka ditenggelami disebabkan pembinaan Empangan Bakun. Dan selepas mereka menempuhi perjalanan selama 1 jam ke Sungai Asap, mereka tiba ke Pejabat Mukim di Pekan kecil Sungai Asap.

Dan merujuk kepada kes mereka itu, pegawai bertugas menyatakan...

"Maaf tuan, nama anda tiada dalam senarai pemohon..."

Bayangkanlah apa yang pekerja kami itu rasakan selepas menempuhi perjalanan penuh ranjau duri dan liku hanya untuk mendengar namanya tiada dalam senarai pemohon. Permohonannya layak tetapi tiada dalam senarai pemohon? Itulah sedikit perkongsian susah payah ketiadaan sistem perhubungan sempurna yang dialami oleh penduduk Belaga.

Sabtu, 25 Mei 2013

Hutang negara RM500b

Pasti semua orang mengenali siapakah Datuk Seri Mohd Najib. Anakanda kepada Allahyarham Tun Abdul Razak ini sememangnya amat popular. Pernah menjawat sebagai Menteri Besar Pahang paling muda dalam sejarah, beliau kemudian mewarisi jawatan yang pernah dipegang oleh ayahnya iaitu sebagai Perdana Menteri Malaysia. Mewarisi pentadbiran negara selepas Tun Abdullah meletakkan jawatan, beliau diharap untuk memulihkan semula imej Barisan Nasional yang tercalar teruk pada PRU ke-12. Dan pada PRU ke-13 merupakan pilihanrayanya yang pertama sebagai PM. Beliau berjaya memperbaharui mandat BN untuk mentadbir Malaysia. Selama 4 tahun beliau mentadbir Malaysia, sudah terbukti bahawa beliau merupakan seorang yang rajin. Namun, terdapat satu liabiliti yang amat besar yang beliau perlu perbaiki segera, iaitu Malaysia menanggung bebanan hutang sebanyak RM500 billion.


Ketika di era pentadbiran Tun Mahathir dan Tun Abdullah, tempoh masa hampir 29 tahun ini menyaksikan yang bebanan hutang negara berada di paras 300 billion. Selepas 4 tahun Datuk Seri Mohd Najib mengambil alih pentadbiran negara, hutang negara meningkat sebanyak 500 billion! Peningkatan 200 billion hanya dalam tempoh masa 4 tahun ini sangat tidak munasabah. Di waktu negeri-negeri Pakatan Rakyat mampu mencapai lebihan bajet pada setiap tahun, Malaysia pula melihat yang kewangannya mencipta difisit sejak lebih 10 tahun dulu. Ke manakah duit ini dibelanjakan? Sebagai seorang rakyat Malaysia, ini perkembangan yang sangat membimbangkan kerana semua bebanan hutang ini akan ditanggung oleh rakyat. Dengan purata rakyat Malaysia seramai hampir 28 juta sekarang ini, rakyat terpaksa menanggung hampir RM17,000 hutang kerajaan. 

Bagaimanakah rakyat menanggung kesan kenaikan hutang ini? Melalui kenaikan harga barangan dan juga cukai. Kerajaan baru-baru ini mengumumkan akan menaikkan cukai perkhidmatan kepada 7%. Dan, kita akan melihat yang akan ada banyak lagi barangan akan naik walaupun selama ini kita diuar-uarkan bahawa harga barangan kita adalah antara yang terendah di Asia Tenggara. Namun, pada masa sekarang kita sudah tidak boleh hanya berdiam diri. Sudah pastinya ia akan lebih menjulang tinggi selepas ini.

Kita sudah membincangkan masalahnya, jadi bagaimana penyelesaiannya? 5 tahun selepas PRU ke-13 ini, BN perlulah mengubah untuk mengawal pembaziran dan ketirisan dalam perbelanjaan negara. Ia sepatutnya mampu dilaksanakan memandangkan yang PM juga sekarang ini bertindak sebagai Menteri Kewangan. Dengan cara ini juga, ia mampu untuk mengurangkan defisit perbelanjaan. Jika negeri-negeri PR boleh melakukannya, kenapa tidak pada BN yang sudah mentadbir semenjak dari 1955 lagi. Masa sudah semakin nyata dan ramalan Malaysia akan bangkrap pada 2019 ibarat sudak semakin menjadi benar. Jika keadaan tidak berubah sehingga PRU ke-14 berlangsung, apa lagi penyelesaian melainkan mengundi PR dan mengubah keadaan yang semakin hari semakin panas. 

Sabtu, 4 Mei 2013

Pilihanraya Ke-13

Esok merupakan hari bersejarah bagi Malaysia apabila Pilihanraya Umum ke-13 Malaysia akan diadakan pada tanggal 5 Mei 2013. Kedua-dua pihak sama ada daripada Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat berlumba-lumba untuk memastikan kemenangan masing-masing di Pilihanraya kali ini. Terdapat banyak yang mereka perlu pertahankan kali ini. Dan bukan sahaja di pihak Pakatan Rakyat, malah di yang berkecuali juga tidak melepaskan peluang ini apabila calon-calon bebas juga berlumba-lumba mahu bertanding untuk kali ini. Memang tidak dinafikan, banyak yang mereka perlu pertahankan pada kali ini.

Penulis pada asalnya meramal bahawa Pilihanraya akan diadakan pada 28 Mei 2013, iaitu pada musim cuti sekolah. Ianya ternyata meleset walaupun bulannya sama. Pada kali ini, penulis juga melihat dengan penuh takjub di mana tempoh berkempen dipanjangkan kepada 15 hari berbanding 8 hari pada 2008. Kedua-dua pihak BN dan PR sudah memulakan kempen mereka yang saya katakan lebih hebat berbanding dengan 2008. Kenapa? Kerana banyak yang mereka perlu pertahankan. Pada tahun 2008, BN yang perlu menangkis serangan. Namun pada 2013 ini, PR juga terpaksa menahan jika dibandingkan dengan serangan kerana momentum Tsunami Politik 2008 nampaknya sudah mula berkurang. (Ataupun BN sudah membina kubu penghalang untuk menahan serangan tsunami yang melanda). Jika kita lihat, BN sudah menumpukan sepenuh tenaga untuk menawan kembali Negeri Selangor, iaitu negeri yang menyumbangkan 60% daripada GDP Negara.

Jika kita lihat bahawa roda sudah mula berputar. Apa yang berlaku pada Pilihanraya 1969 sudah kembali kelihatan di mana pada pilihanraya tersebut, Perikatan telah dinafikan majoriti 2/3 yang mereka terima namun di bawah kepimpinan Tun Abdul Razak, beliau berjaya mengembalikan sokongan rakyat kepada Perikatan dengan menjenamakan semula Perikatan kepada Barisan Nasional. Pada tahun 2008, BN sudah dinafikan majoriti 2/3 yang mereka terima semenjak 1969. Mampukah anakanda kepada Tun Abdul Razak yang memegang kuasa pada kali ini mengembalikan semula majoriti tersebut? Sama-sama kita lihat. Kita hanya mampu meramal namun pengundi yang akan menentukan semua keputusan pilihanraya.

Di pihak Pakatan Rakyat pula, tidak seperti pada tahun 2008, kedudukan mereka sebagai pentadbir di beberapa buah negeri bermakna mereka terpaksa untuk menyerang dan pada masa yang sama bertahan daripada bahana Tsunami yang akan melanda (jika ada). Apa-apa pun, sama ada INI KALILAH atau LAIN KALILAH.. anda yang akan menentukannya.

Selamat Mengundi.

Jumaat, 29 Mac 2013

Pembubaran Parlimen ; Bila??

Pada hari semalam, 28 Mac 2013, Dewan Undangan Negeri bagi Negeri Sembilan Darul Khusus dengan rasminya terbubar secara automatik mengikut Perlembagaan Negeri, iaitu jika DUN tidak dibubarkan sebelum usia DUN menjangkau genap 5 tahun, ia akan terbubar secara automatik pada tarikh di mana sidang DUN pertama kali bersidang. Ini adalah pertama kali dalam sejarah Negeri Sembilan dan mungkin juga dalam sejarah Malaysia di mana DUN terbubar secara automatik dan bukannya dibubarkan mengikut nasihat daripada Menteri Besar. Malah, Parlimen Malaysia ke-12 sehingga ke hari ini masih belum lagi dibubarkan walaupun tarikh tamat tempohnya sudah semakin menghampiri iaitu 30 April 2013. Penulis memang memerhatikan fenomena luar biasa ini dengan penuh minat, apatah lagi kerajaan yang mentadbir sekarang ini masih menunggu sehingga ke saat-saat paling akhir, ibarat mengharapkan talian hayat. Penulis sudah pun beberapa kali disoal dan berbincang dengan rakan-rakan sekerja yang lain akan isu ini. Dan sememangnya, mereka juga sedang ternanti-nanti tarikh pilihanraya.

Jika kita lihat fenomena ini, ianya memang tidak dinafikan bermula semenjak tahun 2008. Tarikh Pilihanraya Umum ke 12 ini sememangnya telah menjadi sebutan ramai kerana ianya terbubar begitu awal. Parlimen Malaysia ke-11 pada waktu itu belum lagi menjangkau ke usia 4 tahun. Melihat kepada situasi sekarang, jika ianya adalah kesinambungan daripada apa yang berlaku pada tahun 2008, berkemungkinan kerajaan yang mentadbir sekarang ini iaitu Kerajaan Barisan Nasional sememangnya sudah menjangkakan yang jika pilihanraya dibubarkan setelah 2008, kejatuhan Barisan Nasional mungkin adalah lebih awal. Pada tahun 2008 juga kita telah menyaksikan yang BN tewas di 5 negeri. Kemudian berjaya merampas kembali Negeri Perak melalui pintu belakang. Penulis juga sudah ditanya akan soalan ini, "Siapa yang akan menang di Pilihanraya ke-13?"

Dalam keadaan situasi yang ada sekarang ini, adalah sudah menjadi kepastian yang BN akan menang di Negeri-negeri seperti Sabah, Sarawak, Johor dan Pahang. Melihat kepada keadaan situasi semasa, keadaan di negeri-negeri ini tidak banyak bezanya dengan di waktu 2008, walaupun momentum Pakatan Rakyat boleh dilihat di beberapa kawasan, ianya masih belum cukup untuk menukar landskap politik negeri itu secara keseluruhan. Sementara di pihak Pakatan Rakyat, tempoh 5 tahun yang diberikan cukup untuk memberikan pengalaman baik kepada parti-parti PR mahupun rakyat Malaysia untuk menilai keupayaan mereka mentadbir di peringkat negeri. Kelantan dan Pulau Pinang sudah pasti milik PAS dan DAP. Di negeri-negeri lain pula, peluangnya adalah sama iaitu 50-50. Mana-mana parti politik yang mempunyai kelebihan dari segi jentera politik akan memenangi perlawanan di negeri-negeri yang lain. Namun, pertarungan di negeri-negeri itu sudah pastinya tidak sesengit seperti di Negeri Selangor. Negeri yang sekarang ini merupakan negeri terkaya di Malaysia.

Rakyat Selangor sudah menyaksikan kemampuan PR untuk mentadbir Selangor untuk tempoh 5 tahun. Dan sememangnya setiap apa yang dilaksanakan di peringkat negeri akan menghadapi serangan bertubi-tubi daripada media arus perdana. Namun, penulis juga merasakan yang kerajaan Selangor memang menghadapi masalah dari segi dasar namun kebijaksanaan Tan Sri Khalid Ibrahim dalam mentadbir Selangor memang tidak boleh diperkecilkan. Malah kita juga boleh menyaksikan yang kerajaan PKR-DAP Selangor mampu bertahan dalam tempoh 5 tahun jika dibandingkan dengan kerajaan PR Perak yang jatuh hanya dalam tempoh 11 bulan sahaja. BN sememangnya mahu merampas kembali Selangor, apatah lagi jika kita lihat yang Selangor menghadap banyak serangan baik daripada media massa mahupun media arus perdana. Namun, walaupun dengan bantuan media, adalah amat sukar untuk mentafsirkan bagaimana BN mahu merampas kembali Selangor dalam keadaan jentera BN juga tidak jelas akan siapa yang akan menduduki kerusi Menteri Besar Selangor. (Sudah pasti rakyat Selangor tidak mahukan Khir Toyo kembali ke kerusi tersebut).

Di peringkat Persekutuan pula, BN sudah memberikan bermacam-macam gula-gula Pilihanraya kepada pengundi. Insentif seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia, BR1M yang sudah pun memasuki edisi 2.0, Bantuan Lesen 1 Malaysia, BL1M, rebat RM200 telefon pintar dan bermacam-macam lagi sudah pun diberikan atas nama bantuan untuk rakyat. Dan lebih 1.5juta rakyat Malaysia sudah pun menerima manfaat program bantuan tersebut. Namun, walau dengan kesemua gula-gula tersebut, kerajaan masih lagi enggan membubarkan Parlimen. Ia lebih lagi kepada isyarat jelas yang ibarat Perdana Menteri Mohd Najib cuba untuk melengahkan ke saat paling akhir sebelum menghadapi Pilihanraya. Dengan terbubarnya DUN Negeri Sembilan pada 28 Mac 2013, turut akan terbubar dengan sendirinya adalah DUN Pahang iaitu pada 8 April 2013. Apa yang ditunggu sudah pastinya pembubaran Parlimen Malaysia yang ke-12. Jadi bilakah tarikhnya?

Jika dilihat, peluang pertama iaitu akhir Mac sudah pun berlalu. Dengan Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia begitu tegar mahu Pilihanraya dijalankan serentak di seluruh negara, tarikh paling akhir yang perlu dilaksanakan adalah pada 28 Mei 2013. Iaitu tempoh tamatnya talian hayat 60 hari bagi SPR mengumumkan pilihanraya. Dan sudah pastinya tiada tarikh yang paling 'afdal' untuk dijalankan Pilihanraya selain daripada musim cuti sekolah.

Sabtu, 9 Februari 2013

Malaysia : 13 Negeri atau 4 Negara? (No.4)

Kembali lagi kita di dalam tajuk perbincangan Malaysia : 13 Negeri atau 4 Negara? di dalam isu kita yang keempat. Di dalam tajuk ini, penulis akan menghuraikan secara ringkas akan status Malaysia terdiri daripada 13 Negeri ataupun 4 Negara? Di dalam isu yang ketiga, penulis ada membincangkan tentang isi kandungan Pengumuman Hari Malaysia oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pada 16 September 1963. Dalam pengumuman tersebut ada disebutkan akan suatu perjanjian yang telah ditandatangani di antara United Kingdom of Great Britain and Northern Ireland, Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sarawak dan Borneo Utara yang menjadi asas kepada penubuhan Malaysia. Apakah perjanjian tersebut?

Perjanjian tersebut dikenali sebagai Malaysia Agreement yang ditandatangani pada 9 Julai 1963. Isi perjanjian tersebut boleh dilayari dari link yang tertera di bawah.


Baiklah, di dalam isu ini, penulis akan menghuraikan akan status Malaysia sama ada ia terdiri daripada 4 Negara atau 13 Negeri? Ianya secara jelas tertulis di dalam Perkara I perjanjian tersebut yang berbunyi :-

Tanah2 Jajahan Borneo Utara dan Sarawak dan Negeri Singapura
hendak-lah di-sekutukan dengan Negeri2 Persekutuan Tanah Melayu yang
ada sekarang sa-bagai Negeri Sabah, Negeri Sarawak dan Negeri Singapura
mengikut surat2 perlembagaan yang di-kembarkan kapada Perjanjian ini
dan Persekutuan itu kemudian daripada itu hendak-lah di-namakan
« Malaysia ».

Baiklah mengikut perkara di atas, ia secara jelas menunjukkan bahawa,
Yang Pertama : Sabah, Sarawak dan Singapura selepas perbentukan Malaysia dikenali sebagai "NEGERI" dan bukannya "NEGARA", dan dikenali sebagai STATE di dalam versi Bahasa Inggeris. 

Yang kedua adalah : Sabah, Sarawak dan Singapura bukannya bersekutu dengan Persekutuan Tanah Melayu tetapi bersekutu dengan "Negeri-negeri Persekutuan Tanah Melayu".

Jadi, di dalam Perjanjian di atas jelas menunjukkan selepas Hari Malaysia 1963, Malaysia adalah terdiri daripada 14 Negeri. Namun ianya berkurangan menjadi 13 selepas Negeri Singapura disingkirkan daripada Malaysia pada 9 Ogos 1965. Walaupun Sabah, Sarawak dan Singapura dikenali dengan nama Negeri, ianya tetap mempunyai perbezaan kuasa dengan Negeri-Negeri Tanah Melayu yang kita namakan sebagai Kuasa Autonomi. 

Insya-Allah kita akan bincangkan Kuasa Autonomi akan Sabah, Sarawak dan Singapura ini di dalam isu yang akan datang.

Sabtu, 26 Januari 2013

Imigresen Negeri-Negeri Tanah Melayu, Sarawak dan Sabah

Pasti ramai di antara kita sekarang ini tidak mengetahui akan hal imigresen di Malaysia ini dan keunikan di sebaliknya. Kita semua sedia maklum bahawa jika sesiapa yang mahu keluar dan masuk dari Malaysia perlu mempunyai dokumen perjalanan yang sah iaitu Passport. Namun begitu, bukan perjalanan masuk dan keluar daripada Malaysia sahaja yang perlu menggunakan passport / visa pelawat. Terdapat satu undang-undang Imigresen khas di negeri Sabah dan Sarawak di mana sesiapa yang masuk ke wilayah-wilayah Malaysia ini perlu menggunakan passport.


SEMENANJUNG MALAYSIA

Semua warga Malaysia adalah bebas untuk keluar masuk dari mana-mana negeri di Semenanjung dan mereka tiada sekatan masa untuk menetap dan bekerja di mana-mana negeri di Semenanjung. 

P.S : Warga Semenanjung tidak perlukan dokumen perjalanan di mana-mana negeri di semenanjung tetapi perlukan dokumen perjalanan untuk pergi ke Sabah dan Sarawak.

WILAYAH BORNEO UTARA

Wilayah Borneo Utara ini secara umum terbahagi kepada dua entiti iaitu Wilayah Persekutuan Labuan dan Negeri Sabah. Mereka yang berasal daripada mana-mana negeri di Semenanjung perlu menunjukkan passport apabila mereka pergi ke Negeri Sabah. Kad pengenalan juga boleh digunakan, di mana mereka akan diberikan surat perjalanan (visa pelawat) selama 90 hari untuk tujuan sosial di Sabah. Mereka yang berasal daripada Sarawak pula tidak perlu menggunakan passport untuk pergi ke Sabah dan mereka tidak mempunyai sekatan masa untuk berada di Sabah. Passport tidak diperlukan untuk masuk ke Wilayah Persekutuan Labuan kepada semua warga Malaysia. Untuk tujuan bekerja pula, Permit Kerja adalah diperlukan.

Sekiranya anda tinggal lebih masa di Sabah daripada tempoh 90 hari, maka anda akan dikenakan kompaun sementara peluang diberikan selama 5 tahun kepada anda untuk keluar dari Negeri Sabah untuk memperbaharui pas pelawat anda.

P.S : Warga Sabah tidak perlukan dokumen perjalanan apabila pergi ke Semenanjung, tetapi perlukan dokumen perjalanan apabila pergi ke Sarawak. 
 


WILAYAH SARAWAK

Kemasukan di Sarawak adalah lebih ketat jika dibandingkan dengan di Negeri Sabah. Semua warga Malaysia daripada Semenanjung DAN Sabah perlu menunjukkan passport / Kad pengenalan apabila anda masuk ke Negeri Sarawak. Visa pelawat selama 90 hari akan diberikan kepada anda untuk berada di Sarawak untuk tujuan lawatan sosial. Permit Kerja adalah diperlukan jika anda bekerja di Sarawak. Jika anda ada keperluan untuk tinggal lebih masa di Sarawak, anda perlu memperbaharui visa anda (passport sahaja) di Jabatan Imegresen selama tambahan 90 hari lagi dan anda perlu keluar daripada Sarawak sebelum tempoh tersebut tamat. Jika anda didapati tinggal lebih daripada had masa, anda akan dikenakan denda, nama anda akan disenarai hitam dan tidak akan dibenarkan untuk masuk lagi ke Sarawak di masa akan datang.

P.S : Warga Sarawak tidak memerlukan apa-apa dokumen perjalanan untuk pergi ke mana-mana negeri di Malaysia.

Sabtu, 10 November 2012

Malaysia : 13 Negeri atau 4 Negara? (No.3)

Isu yang penulis huraikan sejak dari 3 minggu yang lepas sudah memasuki ke edisi yang ketiga. Kita sedang menghuraikan tentang Malaysia : 13 Negeri atau 4 Negara?, iaitu untuk mengetahui dan menjelaskan sama ada negara kita ini terdiri daripada 13 buah Negeri atau 4 Negara? (3 Negara setelah ditolak dengan Singapura yang disingkirkan pada 9 Ogos 1965). Kita sudah membincangkan akan perkara-perkara yang mudah seperti maksud tersurat di sebalik Jalur Gemilang dan juga Jata Malaysia. Pada hari ini, penulis akan mengorek lebih dalam akan isu ini iaitu pada Hari Malaysia itu sendiri pada 16 September 1963.

Pengisytiharan Malaysia pada 16 September 1963 oleh Tunku Abdul Rahman juga mempunyai banyak signifikasinya yang tersendiri, namun laungan "Merdeka" oleh Tunku Abdul Rahman pada tahun 1957 lebih popular dan mendapat lebih banyak tempat di ruangan halaman buku sejarah jika dibandingkan dengan hari Malaysia diisytiharkan. Mengapa? Berkemungkinan kerana kekecewaan Tunku Abdul Rahman kerana terpaksa menyingkirkan Singapura. (Atau juga mungkin disebabkan yang 16 September 1963 adalah hari lahir Lee Kuan Yew).


Pada tanggal 16 September 1963, Permashuran Malaysia adalah seperti berikut :-

Dengan nama Allah yang Maha Murah lagi Maha Mengasihani, Segala pujian-pujian bagi Allah Tuhan seru sekalian alam dan Selawat dan Salam bagi junjungan kita Nabi Muhammad dan bagi sekalian keluarga serta sahabat-sahabatnya.

BAHAWASANYA, oleh kerana suatu perjanjian yang diperbuat pada Sembilan haribulan Julai tahun Seribu Sembilan Ratus Enam Puluh Tiga antara Persekutuan Tanah Melayu, United Kingdom, Borneo Utara, Sarawak dan Singapura maka telah dipersetujui bahawa hendaklah disekutukan Negeri Sabah, Negeri Sarawak dan Negeri Singapura dengan Persekutuan Tanah Melayu yang mengandungi Negeri Pahang, Negeri Terengganu, Negeri Kedah, Negeri Johor, Negeri Sembilan, Negeri Kelantan, Negeri Selangor, Negeri Perak, Negeri Perlis, Negeri Pulau Pinang dan Negeri Melaka dan bahawa Persekutuan itu hendaklah dinamakan "Malaysia".

DAN BAHAWASANYA, oleh kerana pihak-pihak dalam perjanjian yang tersebut telah bersetuju bahawa mulai daripada penubuhan Malaysia maka Negeri Sabah, Negeri Sarawak dan Negeri Singapura hendaklah tamat daripada menjadi jajahan takluk Duli Yang Maha Mulia Baginda Queen dan Duli Yang Maha Mulia Baginda Queen tiada lagi mempunyai kedaulatan dan kuasa dalam ketiga-tiga buah negeri itu.

DAN BAHAWASANYA, oleh kerana telah dimasyhurkan suatu Perlembagaan bagi Malaysia yang akan menjadi qanun yang muktamad di dalamnya :

DAN BAHAWASANYA, oleh kerana perlembagaan yang tersebut itu telah diadakan syarat bagi menjaga keselamatan hak-hak dan keutamaan-keutamaan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja serta hak-hak asasi dan kebebasan sekalian rakyat dan bagi menggalakkan keamanan dan kemesraan di dalam Malaysia sebagai kerajaan yang mempunyai raja yang berpelembagaan dan yang berdasarkan demokrasi cara berparlimen. 

DAN BAHAWASANYA, oleh kerana perlembagaan yang tersebut itu telah disahkan oleh suatu undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen Persekutuan Tanah Melayu dan Parlimen United Kingdom maka telah berjalanlah kuat kuasa perlembagaan itu pada Enam Belas Haribulan September Tahun Seribu Sembilan Ratus Enam Puluh Tiga. 

MAKA DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA MURAH LAGI MAHA MENGASIHANI, saya, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Syah, Perdana Menteri Malaysia dengan persetujuan dan perkenan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Yang Terutama Yang Dipertuan Negara Singapura, Yang Terutama Yang Dipertua Negara Sabah, Yang Terutama Gabenor Negeri Sarawak dengan ini mengisytihar dan memasyhurkan bagi pihak umat Malaysia bahawa mulai daripada Enam Belas Haribulan September Seribu Sembilan Ratus Enam Puluh Tiga bersamaan dengan Dua Puluh Lapan Haribulan Rabi'ul Akhir tahun Hijrah Seribu Tiga Ratus Lapan Puluh Tiga, Malaysia yang mengandungi Negeri Pahang, Negeri Terengganu, Negeri Kedah, Negeri Johor, Negeri Sembilan, Negeri Kelantan, Negeri Selangor, Negeri Perak, Negeri Perlis, Negeri Pulau Pinang, Negeri Melaka, Negeri Singapura, Negeri Sabah dan Negeri Sarawak dengan izin dan kehendak Allah Rab' Al-Alamin akan kekal menjadi sebuah Negara Demokrasi yang merdeka lagi berdaulat serta berasaskan kebebasan dan keadilan dan sentiasa mempertahankan serta memelihara keamanan dan kemesraan umatnya dan mengekalkan keamanan di antara segala bangsa di dunia ini. 

Perdana Menteri.



Salinan teks asal Permasyhuran Malaysia dalam Bahasa Melayu ini adalah dalam tulisan jawi yang penulis lampirkan di bawah ini. (Tulaa.. berapa kali cakap belajar tulisan jawi... berapa banyak perkataan Negeri tulis dalam tu.. huhu..)

(tekan untuk besarkan)

Insya-Allah kita akan kupas lagi isu ini di masa akan datang di ruangan yang ke-empat.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails