Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi bin Awang mengumumkan bahawa PAS tidak akan menyertai Himpunan Sejuta Umat (HIMPUN) yang akan diadakan pada 22 Oktober ini. Dalam kenyataannya, PAS mengambil langkah tidak menyertai himpunan tersebut untuk menghormati kehendak penganjur program, di mana majlis tersebut tidak melibatkan parti-parti politik.
Di dalam kenyataannya lagi, Dato Seri Abdul Hadi Awang menyatakan bahawa tindakan untuk menyelamatkan aqidah adalah satu agenda yang murni, dan memperingatkan kepada semua pihak yang terlibat dalam penganjuran himpunan tersebut agar bertindak selaras dengan peruntukan undang-undang negara, dalam menjamin keharmonian negara yang berbilang bangsa dan agama.
Kenyataan penuh Presiden PASDatuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang ;
PAS yang mengadakan mesyuarat lajnah politik pada malam ini telah membincangkan isu Himpunan Sejuta Umat (Himpun) Mempertahankan Aqidah yang dijadualkan pada 22hb Oktober 2011 ini. PAS dimaklumkan bahawa majlis ini tidak melibatkan parti-parti politik, maka PAS mengambil pendirian untuk tidak terlibat dalam himpunan tersebut sebagai menghormati kehendak penganjur program.
PAS memperingatkan semua pihak yang terlibat dalam penganjuran himpunan ini agar bertindak selaras dengan peruntukan undang-undang negara, dalam menjamin keharmonian negara yang berbilang bangsa dan agama. Sebarang usaha untuk menimbulkan polemik perkauman dan agama akan membawa negara kepada satu suasana yang tidak menguntungkan mana-mana pihak. PAS memandang berat sebarang usaha mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan untuk kepentingan politik dan pilihan raya.
Agenda menyelamatkan aqidah merupakan agenda murni tetapi ianya mesti diurus dengan cara berhemah. PAS menyokong segala usaha memantapkan aqidah oleh badan-badan NGO dan pelbagai pihak bagi memperkasakan aqidah umat Islam.
PAS mengambil pendirian bahawa pengukuhan aqidah umat Islam hendaklah dilaksanakan menerusi jalan dakwah secara damai sebagaimana Islam telah diterima oleh masyarakat rantau ini secara damai.
Sumber rujukan :
Harakah Daily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan