Subscribe:

Ads 468x60px

`

Isnin, 22 Julai 2013

Hari Kemerdekaan Sarawak ke-50


Pertama sekali diucapkan Selamat Hari Kemerdekaan kepada Negeri Sarawak di atas sambutan jubli emas kemerdekaan Sarawak yang ke-50. Mungkin rata-rata masih lagi tidak mengetahui akan hakikat bahawa Negeri Sarawak menerima kemerdekaan yang berasingan dengan Persekutuan Tanah Melayu dan juga Negeri Sabah. Pada 22 Julai 1963, Negeri Sarawak diberikan kemerdekaan penuh oleh British pada waktu itu setelah Perjanjian Malaysia ditandatangani pada 9 Julai tahun yang sama. 47 hari kemudian, Negeri Sarawak bersama-sama dengan Negeri Sabah dan juga Negeri Singapura (juga dikenali sebagai Negeri-Negeri Baru) bersekutu dengan 11 Negeri di Persekutuan Tanah Melayu membentuk Malaysia yang kita kenali pada hari ini pada 16 September 1963. Kemerdekaan Sarawak ini adalah ibarat satu persediaan kepada Pembentukan Malaysia.


Ke Arah Kemerdekaan

Sarawak mendapat kemerdekaannya daripada United Kingdom of Great Britain & Northern Ireland selepas menjadi Tanah Jajahan Mahkota United Kingdom bermula dari 1 Julai 1946. Rajah Putih Sarawak pada ketika itu iaitu Charles Vyner Brooke telah menyerahkan Sarawak kepada British di atas beberapa faktor termasuk tiada sumber kewangan untuk membangunkan semula Sarawak yang terjejas teruk selepas Perang Dunia Kedua, jumlah saraan yang diberikan oleh Kerajaan British dan juga tekanan yang diberikan oleh isterinya sendiri. Isteri Vyner Brooke iaitu Sylvia Brett kecewa kerana anak perempuannya iaitu Dayang Leonora Brooke dihalang daripada menaiki tahta Sarawak oleh Undang-Undang perwarisan tahta Islam. Oleh itu dia berusaha untuk memastikan yang anak saudara Brooke, Anthony Brooke dihalang daripada menaiki tahta Sarawak.


Penyerahan Sarawak kepada British itu ditentang dengan hebat oleh Melayu Sarawak. Antara yang menyokong adalah Raja Muda Anthony Brooke sendiri. Demonstrasi besar-besaran telah dilakukan untuk menzahirkan tentangan kepada penyerahan tersebut, dengan yang terbesar berlaku pada 1 Julai 1947. Penentangan ini mencapai ke kemuncak dengan peristiwa pembunuhan Gabenor British kedua di Sarawak, iaitu Sir Duncan George Stewart pada tahun 1948 oleh Rosli Dhobi, Awang Ramli Amit Mohd Deli, Morshidi Sidek dan juga Bunjang Suntong di Sibu, Sarawak. Mereka merupakan ahli kepada Rukun 13. Rukun 13 ini dianggotai oleh 13 orang daripada ahli Gerakan Melayu Muda Sibu yang bertujuan untuk menyingkirkan semua pegawai eropah dan juga orang Melayu yang menyokong penjajahan British di bumi Sarawak. Tentangan ini disebabkan oleh Rajah Vyner Brooke di dalam Perlembagaan Sarawak 1941 telah menyatakan akan menyerahkan taraf pemerintahan sendiri kepada Negeri Sarawak. Penentangan daripada Rukun 13 ini berakhir dengan British memansuh dan membubarkan kesemua pertubuhan yang menentang penyerahan Sarawak kepada British pada tahun 1950.

Sarawak kekal menjadi Jajahan Mahkota British sehingga 1961 apabila rancangan penubuhan Malaysia diutarakan oleh Tunku Abdul Rahman yang pada ketika itu menjadi Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu. Cadangan Malaysia itu dengan memasukkan sekali Singapura, Sarawak, Brunei dan Borneo Utara di dalam satu kerjasama ekonomi dan politik yang pada ketika itu masih di bawah kuasa British. Di Sarawak, idea penubuhan Malaysia itu ditentang pada peringkat awal. Beberapa parti politik Sarawak pada ketika itu seperti SUPP, SNAP dan Pasok Momogun menentang penubuhan Malaysia. Namun, selepas beberapa lawatan muhibbah pemimpin Persekutuan Tanah Melayu ke Sarawak dan juga timbang tara dari Sarawak ke Persekutuan Tanah Melayu, pemimpin-pemimpin Sarawak seperti di SNAP bersetuju untuk menerima cadangan penubuhan Malaysia.

Suruhanjaya Cobbold yang ditubuhkan untuk mengkaji tahap penerimaan populasi di Borneo Utara, Sarawak dan Brunei. Di Sarawak terpecah kepada 3 iaitu yang bersetuju dengan penubuhan Malaysia, bersetuju dengan penubuhan Malaysia namun mahukan kemerdekaan terlebih dahulu dan ada yang menentang. Namun, ianya kemudian berakhir dengan 70% bersetuju dengan penubuhan Malaysia. Namun Sarawak membentangkan 18-Perkara Sarawak berada di dalam Malaysia. Pada tahun 1962, Pilihanraya negeri telah diadakan dengan beberapa buah parti bertanding seperti SNAP, Berjasa, SUPP dan Pesaka. Di dalam pilihanraya ini, SNAP menang majoriti yang besar dan Stephen Kalong Ningkan telah dilantik sebagai Ketua Menteri Sarawak yang pertama pada Oktober 1962. Dan Stephen Kalong Ningkan telah memainkan peranan yang penting dalam Pembentukan Malaysia.


Pada 21 Julai 1963, Stephen Kalong Ningkan menjadi Ketua Menteri Sarawak secara rasmi dan kemerdekaan Sarawak diserahkan kepada Kerajaan Sarawak di bawah Gabenor Sarawak pada ketika itu iaitu Sir Alexander Waddel sehari kemudian iaitu pada 22 Julai 1963. 47 Hari kemudian, Stephen Kalong Ningkan bersama-sama dengan Gabenor Negeri Sarawak yang baru iaitu Tun Abang Haji Openg berserta dengan wakil dari Persekutuan Tanah Melayu, Khir Johari memasyhurkan pengisytiharan Pembentukan Malaysia di Padang, Kuching, Sarawak pada 16 September 1963.


LinkWithin

Related Posts with Thumbnails