Subscribe:

Ads 468x60px

`

Selasa, 4 Jun 2013

Akur keputusan Pilihanraya ke-13 ; Antara Titah Diraja dan Sketsa Politik Tanah Air

Setiap kali pada Sabtu minggu pertama di bulan Jun, Sambutan Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong di peringkat Persekutuan akan disambut di seluruh negara. Rakyat Malaysia akan diberikan cuti umum selama sehari. Ia bukanlah sambutan Hari Keputeraan baginda yang sebenar, sebaliknya hanyalah Sambutan Hari Keputeraan Baginda yang sudah ditetapkan untuk setiap tahun. Ini adalah kerana Hari Keputeraan Baginda yang sebenar akan disambut di Peringkat Negeri bergantung dari negeri mana Baginda Tuanku itu berasal. Dan pada tahun ini, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-14, Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah menyambut sambutan yang gilang-gemilang tersebut. Dalam titah baginda, Tuanku menyeru kepada semua rakyat Malaysia supaya akur dengan keputusan PRU-13 yang sudah ditentukan oleh rakyat Malaysia sendiri dan disamping itu, baginda Tuanku juga berharap supaya semua pihak di negara ini memelihara keutuhan sistem demokrasi berparlimen yang diamalkan sejak merdeka.


Ampun Tuanku, Daulat Tuanku! Titah Tuanku itu Patik junjung. Bagi penulis, penulis tiada masalah untuk menerima baik titah Tuanku itu. Apatah lagi yang Barisan Nasional telah pun diberi mandat sekali lagi untuk mentadbir Malaysia selama 5 tahun lagi. Namun, sekali lagi semenjak PRU-12, Pakatan Rakyat yang terdiri daripada 3 parti komponen utamanya iaitu PKR, DAP dan PAS bukan sahaja berjaya menafikan majoriti 2/3 BN di Parlimen, malah menafikan majoriti undi popular terhadap BN. Perdana Menteri Malaysia sekarang ini, iaitu Datuk Seri Mohd Najib walaupun menerima sokongan 133 kerusi di Parlimen, hanya mendapat undi sekitar 47% sahaja daripada pengundi. Selebihnya mengundi kepada Pakatan Rakyat. Bermaksud, PR walaupun tidak mendapat majoriti mudah di Parlimen, sudah mendapat sokongan majoriti pengundi di Malaysia. Seperti yang kita sedia maklum, keputusan PRU-13 telah dibantah besar-besaran oleh PR dengan perhimpunan sudah dijalankan di beberapa tempat di seluruh negara dengan rata-rata kehadiran melebihi 10,000 orang. Sudah tentulah titah seperti itu tidak mendapat tempat di hati Pakatan Rakyat, apatah lagi penyokong mereka.

Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sidang medianya mendakwa bahawa, teks ucapan Yang di-Pertuan Agong tersebut disediakan oleh Barisan Nasional yang sekarang ini terdesak untuk mendapatkan sokongan. Ini juga boleh disaksikan bahawa sudah tentulah Yang di-Pertuan Agong perlu bertindak mengikut nasihat Perdana Menteri yang di mana beliau merupakan Pengerusi Barisan Nasional. Itu adalah dari sidang media Datuk Seri Anwar Ibrahim. Bagaimana pula dengan penyokong PR itu sendiri. Terdapat segelintir daripada mereka yang bertindak biadap terhadap titah diraja itu seperti kes yang ditunjukkan di bawah ini.

Persoalannya adakah tindakah ini satu tindakah yang wajar dan berdisiplin? Sudah tentu tidak.




Bertindak secara bermoral

Pertama sekali, anda tidak boleh bertindak secara membuta tuli terutamanya jika melibatkan institusi beraja di negara ini. Sudah tertulis di dalam Rukun Negara Malaysia iaitu Kesetiaan kepada Raja dan Negara di mana kita sebagai rakyat Malaysia wajib menumpahkan taat setia yang tidak berbelah bagi kepada institusi diraja. Sudah tentulah ia bukan ketaatan atau kesetiaan yang membuta tuli sebaliknya ia satu kesetiaan yang di mana kita ada cara untuk meluahkan jika ada kelopongan atau ketidaksempurnaan di dalam tindakan raja itu sendiri. Menghina atau mempertikaikan tindakan Raja adalah satu tindakan yang biadap. Institusi Beraja bukanlah Pejabat Perdana Menteri yang anda boleh berbicara sesuka hati.

Contohnya, sekiranya anda berada di tempat Datuk Seri Anwar Ibrahim, iaitu di kerusi Ketua Pembangkang di Parlimen, anda boleh dengan mudah meminta mengadap ke hadapan Yang di-Pertuan Agong dan membincangkan atau menghantar petisyen kepada Baginda akan isu yang tersebut. Tapi jika anda fikir, sudah tentulah tidak ada Raja atau Pemerintah yang mahu melihat rakyatnya berada di dalam keadaan tidak tentu hala berada di dalam perhimpunan atau demonstrasi yang tidak berkesudahan tanpa ada penyelesaian. Lihat sahaja apa yang berlaku di Mesir. Sudah berapa tahun Revolusi menjatuhkan Husni Mubarak berlangsung dan keadaan masih tidak berubah dari buruk ke baik (sebaliknya hanya dari buruk ke kurang selesa...).

Negara kita ada meperuntukkan undang-undang bahawa keputusan Pilihanraya boleh dipertikaikan dalam tempoh 21 hari selepas tarikh pengumuman keputusan itu diisytiharkan. Tidak bolehkah pertikaian itu diadakan tanpa keadaan kecoh-kecoh seperti yang sudah berlaku? Mungkin kamu mahu menang secara moral dengan memperlihatkan kekuatan sokongan yang kamu ada. Perkara yang anda boleh lakukan secara senyap-senyap perlukah dilakukan secara bising-bising?

Apap-apa pun, ini hanya pendapat penulis semata-mata sahaja. Bagi kes di laman sosial yang agak biadap itu pula, bagi pandangan penulis, adalah sudah cukup bagi si dia dengan hanya berbicara :-

"Your Majesty, we uphold your request. And we will solved this political issue as efficient as we can.. We only want the best government to serves you.."

Ahad, 2 Jun 2013

Isu dari Hulu Rajang ; Antara Bot Karam dan BR1M

Berita Bot Express karam di Sungai Rajang menghiasi kebanyakan dada akhbar baru-baru ini. Ini tidak dinafikan menjadi satu berita yang mempopularkan sebuah pekan kecil yang berada terpencil di Hulu Batang Rajang. Penulis juga tidak ketinggalan mendengar berita tersebut sebaik sahaja peristiwa hitam itu berlaku kerana penulis bekerja di tapak Empangan Bakun, yang hanya terletak dalam perjalanan 45 minit daripada Pekan Belaga. Memang jaraknya dekat sahaja jika melalui jalan darat, namun jarak yang dekat itu tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya disebabkan ketiadaan laluan jalan darat yang sempurna menghubungi Pekan Belaga dengan dunia luar. Malah bukan Pekan Belaga sahaja, kebanyakan pekan-pekan dan rumah panjang di seluruh Bahagian Kapit tidak mempunyai jalan perhubungan darat yang sempurna untuk menghubungkannya dengan dunia luar kecuali kepada Empangan Bakun dan Sungai Asap.


Apabila berlakunya tragedi di Belaga ini, sekurang-kurangnya ia membuka mata pelbagai pihak akan pentingnya untuk membangunkan kawasan yang amat terpencil tersebut. Pekan Kapit merupakan Pusat Pentadbiran kepada Bahagian Kapit yang majoriti penduduknya terdiri daripada Kaum Iban. Bersempena dengan Perayaan Gawai yang bakal disambut oleh mereka, sudah tentulah ramai di antara mereka yang ingin pulang ke kampung masing-masing. Namun, kemeriahan pulang ke kampung ini terhalang kerana satu-satunya jalan untuk mereka di kawasan tersebut hanyalah Bot Ekspress yang hanya mempunyai 2 penambang sahaja setiap hari. Iaitu satu bertolak dari Sibu ke Bakun dan satu bertolak dari Bakun ke Sibu setiap hari. Dan setiap penambang ini berkapasiti hanya lebih kurang 75 penumpang sahaja. Jadi, di musim perayaan seperti ini, sudah tentulah jumlah penumpang yang ingin menggunakannya meningkat dengan mendadak. Jadi, ini antara beberapa faktor yang menyebabkan tradegi bot ekspress karam tersebut berlaku.

Setakat ini, penulis mendengar 2 jenis cerita di sebalik tragedi tersebut :-
  1. Sikap tamak daripada Juragan Kapal. Juragan Kapal yang membawa bot ekspress tersebut mahukan keuntungan berlipat ganda mengambil penumpang melebihi daripada kapasiti yang sepatutnya. Sehingga 2 kali ganda daripada kapasiti yang sepatutnya.
  2. Sikap tidak sabar penumpang kapal. Kebanyakan penumpang penambang tersebut yang mahu cepat pulang ke kampung. Dikatakan Juragan Kapal enggan membawa penambang yang berlebihan kerana bimbangkan keselamatan kapal tersebut, namun terdapat penumpang yang mengugut Juragan tersebut supaya membawa mereka ke hilir atau dia akan dipukul. Untuk keselamatan, dia terpaksa membawa kapal tersebut melebihi muatan. (namun, boleh difahami sebab trip setiap hari hanya satu kali. Jika kamu terlepas trip hari ini, kamu perlu menunggu keesokan harinya...)
Itu sahaja yang penulis boleh kongsikan di sini. Namun, memang terdapat penyelesaian di balik isu ini di mana Pihak Pentadbiran Persekutuan perlu segera membina lingkaran jalan raya di kawasan tersebut untuk menghubungkan setiap kawasan pedalaman ini. Dan berbicara akan masalah kekurangan jaringan jalan raya di kawasan Hulu Rajang ini, penulis ingin berkongsi akan masalah yang kami sendiri hadapi.

Masalah perkhidmatan awam di Hulu Rajang.
 
Ini berlaku kepada pekerja kami yang terkenal dengan nama AAA. Tapi kami panggilnya dengan namanya iaitu Ajang. Beliau antara mereka yang layak untuk menerima BR1M dari Kerajaan Persekutuan. Namun, perkhidmatan pegawai awam di kawasan pedalaman Sarawak ini amat-amat mengecewakan. Ajang adalah penduduk di daerah Belaga, iaitu salah satu daerah di dalam Bahagian Kapit. Ajang pertama kalinya pergi ke Bandar Bintulu untuk mengetahui status permohonan BR1M-nya. Kemudian, pegawai bertugas menyatakan yang beliau perlu menuntut permohonannya di Pekan Belaga yang terletak hampir 187 km jauhnya daripada Bandar Bintulu. Satu-satunya cara untuk ke Belaga adalah melalui jalan menuju ke Bakun sehingga ke Simpang Menjawah dan kemudian masuk ke dalam sehingga ke Batang Belaga dengan jarak dalam 32km dari simpang menjawah itu. Dan buat masa sekarang, jambatan untuk menghubungkan jalan tersebut ke Pekan Belaga masih belum siap dibina dan anda perlu menyeberang melalui bot penduduk tempatan.

Pertemuan antara Batang Balui (kanan) dan Batang Belaga (kiri) yang membentuk Batang Rajang. Gambar diambil dari Pekan Belaga

Selepas tiba ke Belaga, mereka merujuk permohonan tersebut di pejabat daerah, dan selepas merujuk perkara tersebut di Belaga, pegawai bertugas menyatakan mereka perlu pergi ke Sungai Asap! Untuk pengetahuan anda, Sungai Asap terletak di pertengahan jalan sebelum tiba ke Simpang Menjawah. Jadi mereka perlu berpatah balik ke Simpang Sungai Asap yang terletak dalam 60km jauhnya daripada Pekan Belaga (Perlu menyeberang menggunakan bot semula untuk menyeberangi Batang Belaga) dan menuju ke Sungai Asap, iaitu kawasan penempatan semula rumah panjang kepada semua Kaum Orang Hulu yang dipindahkan selepas kampung mereka ditenggelami disebabkan pembinaan Empangan Bakun. Dan selepas mereka menempuhi perjalanan selama 1 jam ke Sungai Asap, mereka tiba ke Pejabat Mukim di Pekan kecil Sungai Asap.

Dan merujuk kepada kes mereka itu, pegawai bertugas menyatakan...

"Maaf tuan, nama anda tiada dalam senarai pemohon..."

Bayangkanlah apa yang pekerja kami itu rasakan selepas menempuhi perjalanan penuh ranjau duri dan liku hanya untuk mendengar namanya tiada dalam senarai pemohon. Permohonannya layak tetapi tiada dalam senarai pemohon? Itulah sedikit perkongsian susah payah ketiadaan sistem perhubungan sempurna yang dialami oleh penduduk Belaga.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails