Subscribe:

Ads 468x60px

`

Ahad, 2 Jun 2013

Isu dari Hulu Rajang ; Antara Bot Karam dan BR1M

Berita Bot Express karam di Sungai Rajang menghiasi kebanyakan dada akhbar baru-baru ini. Ini tidak dinafikan menjadi satu berita yang mempopularkan sebuah pekan kecil yang berada terpencil di Hulu Batang Rajang. Penulis juga tidak ketinggalan mendengar berita tersebut sebaik sahaja peristiwa hitam itu berlaku kerana penulis bekerja di tapak Empangan Bakun, yang hanya terletak dalam perjalanan 45 minit daripada Pekan Belaga. Memang jaraknya dekat sahaja jika melalui jalan darat, namun jarak yang dekat itu tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya disebabkan ketiadaan laluan jalan darat yang sempurna menghubungi Pekan Belaga dengan dunia luar. Malah bukan Pekan Belaga sahaja, kebanyakan pekan-pekan dan rumah panjang di seluruh Bahagian Kapit tidak mempunyai jalan perhubungan darat yang sempurna untuk menghubungkannya dengan dunia luar kecuali kepada Empangan Bakun dan Sungai Asap.


Apabila berlakunya tragedi di Belaga ini, sekurang-kurangnya ia membuka mata pelbagai pihak akan pentingnya untuk membangunkan kawasan yang amat terpencil tersebut. Pekan Kapit merupakan Pusat Pentadbiran kepada Bahagian Kapit yang majoriti penduduknya terdiri daripada Kaum Iban. Bersempena dengan Perayaan Gawai yang bakal disambut oleh mereka, sudah tentulah ramai di antara mereka yang ingin pulang ke kampung masing-masing. Namun, kemeriahan pulang ke kampung ini terhalang kerana satu-satunya jalan untuk mereka di kawasan tersebut hanyalah Bot Ekspress yang hanya mempunyai 2 penambang sahaja setiap hari. Iaitu satu bertolak dari Sibu ke Bakun dan satu bertolak dari Bakun ke Sibu setiap hari. Dan setiap penambang ini berkapasiti hanya lebih kurang 75 penumpang sahaja. Jadi, di musim perayaan seperti ini, sudah tentulah jumlah penumpang yang ingin menggunakannya meningkat dengan mendadak. Jadi, ini antara beberapa faktor yang menyebabkan tradegi bot ekspress karam tersebut berlaku.

Setakat ini, penulis mendengar 2 jenis cerita di sebalik tragedi tersebut :-
  1. Sikap tamak daripada Juragan Kapal. Juragan Kapal yang membawa bot ekspress tersebut mahukan keuntungan berlipat ganda mengambil penumpang melebihi daripada kapasiti yang sepatutnya. Sehingga 2 kali ganda daripada kapasiti yang sepatutnya.
  2. Sikap tidak sabar penumpang kapal. Kebanyakan penumpang penambang tersebut yang mahu cepat pulang ke kampung. Dikatakan Juragan Kapal enggan membawa penambang yang berlebihan kerana bimbangkan keselamatan kapal tersebut, namun terdapat penumpang yang mengugut Juragan tersebut supaya membawa mereka ke hilir atau dia akan dipukul. Untuk keselamatan, dia terpaksa membawa kapal tersebut melebihi muatan. (namun, boleh difahami sebab trip setiap hari hanya satu kali. Jika kamu terlepas trip hari ini, kamu perlu menunggu keesokan harinya...)
Itu sahaja yang penulis boleh kongsikan di sini. Namun, memang terdapat penyelesaian di balik isu ini di mana Pihak Pentadbiran Persekutuan perlu segera membina lingkaran jalan raya di kawasan tersebut untuk menghubungkan setiap kawasan pedalaman ini. Dan berbicara akan masalah kekurangan jaringan jalan raya di kawasan Hulu Rajang ini, penulis ingin berkongsi akan masalah yang kami sendiri hadapi.

Masalah perkhidmatan awam di Hulu Rajang.
 
Ini berlaku kepada pekerja kami yang terkenal dengan nama AAA. Tapi kami panggilnya dengan namanya iaitu Ajang. Beliau antara mereka yang layak untuk menerima BR1M dari Kerajaan Persekutuan. Namun, perkhidmatan pegawai awam di kawasan pedalaman Sarawak ini amat-amat mengecewakan. Ajang adalah penduduk di daerah Belaga, iaitu salah satu daerah di dalam Bahagian Kapit. Ajang pertama kalinya pergi ke Bandar Bintulu untuk mengetahui status permohonan BR1M-nya. Kemudian, pegawai bertugas menyatakan yang beliau perlu menuntut permohonannya di Pekan Belaga yang terletak hampir 187 km jauhnya daripada Bandar Bintulu. Satu-satunya cara untuk ke Belaga adalah melalui jalan menuju ke Bakun sehingga ke Simpang Menjawah dan kemudian masuk ke dalam sehingga ke Batang Belaga dengan jarak dalam 32km dari simpang menjawah itu. Dan buat masa sekarang, jambatan untuk menghubungkan jalan tersebut ke Pekan Belaga masih belum siap dibina dan anda perlu menyeberang melalui bot penduduk tempatan.

Pertemuan antara Batang Balui (kanan) dan Batang Belaga (kiri) yang membentuk Batang Rajang. Gambar diambil dari Pekan Belaga

Selepas tiba ke Belaga, mereka merujuk permohonan tersebut di pejabat daerah, dan selepas merujuk perkara tersebut di Belaga, pegawai bertugas menyatakan mereka perlu pergi ke Sungai Asap! Untuk pengetahuan anda, Sungai Asap terletak di pertengahan jalan sebelum tiba ke Simpang Menjawah. Jadi mereka perlu berpatah balik ke Simpang Sungai Asap yang terletak dalam 60km jauhnya daripada Pekan Belaga (Perlu menyeberang menggunakan bot semula untuk menyeberangi Batang Belaga) dan menuju ke Sungai Asap, iaitu kawasan penempatan semula rumah panjang kepada semua Kaum Orang Hulu yang dipindahkan selepas kampung mereka ditenggelami disebabkan pembinaan Empangan Bakun. Dan selepas mereka menempuhi perjalanan selama 1 jam ke Sungai Asap, mereka tiba ke Pejabat Mukim di Pekan kecil Sungai Asap.

Dan merujuk kepada kes mereka itu, pegawai bertugas menyatakan...

"Maaf tuan, nama anda tiada dalam senarai pemohon..."

Bayangkanlah apa yang pekerja kami itu rasakan selepas menempuhi perjalanan penuh ranjau duri dan liku hanya untuk mendengar namanya tiada dalam senarai pemohon. Permohonannya layak tetapi tiada dalam senarai pemohon? Itulah sedikit perkongsian susah payah ketiadaan sistem perhubungan sempurna yang dialami oleh penduduk Belaga.

1 ulasan:

  1. Keadaan ketiadaan jalanraya ini bukannya perkara baru di Sarawak. Namun yg menghairankan ialah, kenapa rakyat Sarawak masih terus memberikan mandat kepada BN? Is it a case of "better the devil you know, than the devil you don't" ?

    BalasPadam

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails