Subscribe:

Ads 468x60px

`

Jumaat, 29 Mac 2013

Pembubaran Parlimen ; Bila??

Pada hari semalam, 28 Mac 2013, Dewan Undangan Negeri bagi Negeri Sembilan Darul Khusus dengan rasminya terbubar secara automatik mengikut Perlembagaan Negeri, iaitu jika DUN tidak dibubarkan sebelum usia DUN menjangkau genap 5 tahun, ia akan terbubar secara automatik pada tarikh di mana sidang DUN pertama kali bersidang. Ini adalah pertama kali dalam sejarah Negeri Sembilan dan mungkin juga dalam sejarah Malaysia di mana DUN terbubar secara automatik dan bukannya dibubarkan mengikut nasihat daripada Menteri Besar. Malah, Parlimen Malaysia ke-12 sehingga ke hari ini masih belum lagi dibubarkan walaupun tarikh tamat tempohnya sudah semakin menghampiri iaitu 30 April 2013. Penulis memang memerhatikan fenomena luar biasa ini dengan penuh minat, apatah lagi kerajaan yang mentadbir sekarang ini masih menunggu sehingga ke saat-saat paling akhir, ibarat mengharapkan talian hayat. Penulis sudah pun beberapa kali disoal dan berbincang dengan rakan-rakan sekerja yang lain akan isu ini. Dan sememangnya, mereka juga sedang ternanti-nanti tarikh pilihanraya.

Jika kita lihat fenomena ini, ianya memang tidak dinafikan bermula semenjak tahun 2008. Tarikh Pilihanraya Umum ke 12 ini sememangnya telah menjadi sebutan ramai kerana ianya terbubar begitu awal. Parlimen Malaysia ke-11 pada waktu itu belum lagi menjangkau ke usia 4 tahun. Melihat kepada situasi sekarang, jika ianya adalah kesinambungan daripada apa yang berlaku pada tahun 2008, berkemungkinan kerajaan yang mentadbir sekarang ini iaitu Kerajaan Barisan Nasional sememangnya sudah menjangkakan yang jika pilihanraya dibubarkan setelah 2008, kejatuhan Barisan Nasional mungkin adalah lebih awal. Pada tahun 2008 juga kita telah menyaksikan yang BN tewas di 5 negeri. Kemudian berjaya merampas kembali Negeri Perak melalui pintu belakang. Penulis juga sudah ditanya akan soalan ini, "Siapa yang akan menang di Pilihanraya ke-13?"

Dalam keadaan situasi yang ada sekarang ini, adalah sudah menjadi kepastian yang BN akan menang di Negeri-negeri seperti Sabah, Sarawak, Johor dan Pahang. Melihat kepada keadaan situasi semasa, keadaan di negeri-negeri ini tidak banyak bezanya dengan di waktu 2008, walaupun momentum Pakatan Rakyat boleh dilihat di beberapa kawasan, ianya masih belum cukup untuk menukar landskap politik negeri itu secara keseluruhan. Sementara di pihak Pakatan Rakyat, tempoh 5 tahun yang diberikan cukup untuk memberikan pengalaman baik kepada parti-parti PR mahupun rakyat Malaysia untuk menilai keupayaan mereka mentadbir di peringkat negeri. Kelantan dan Pulau Pinang sudah pasti milik PAS dan DAP. Di negeri-negeri lain pula, peluangnya adalah sama iaitu 50-50. Mana-mana parti politik yang mempunyai kelebihan dari segi jentera politik akan memenangi perlawanan di negeri-negeri yang lain. Namun, pertarungan di negeri-negeri itu sudah pastinya tidak sesengit seperti di Negeri Selangor. Negeri yang sekarang ini merupakan negeri terkaya di Malaysia.

Rakyat Selangor sudah menyaksikan kemampuan PR untuk mentadbir Selangor untuk tempoh 5 tahun. Dan sememangnya setiap apa yang dilaksanakan di peringkat negeri akan menghadapi serangan bertubi-tubi daripada media arus perdana. Namun, penulis juga merasakan yang kerajaan Selangor memang menghadapi masalah dari segi dasar namun kebijaksanaan Tan Sri Khalid Ibrahim dalam mentadbir Selangor memang tidak boleh diperkecilkan. Malah kita juga boleh menyaksikan yang kerajaan PKR-DAP Selangor mampu bertahan dalam tempoh 5 tahun jika dibandingkan dengan kerajaan PR Perak yang jatuh hanya dalam tempoh 11 bulan sahaja. BN sememangnya mahu merampas kembali Selangor, apatah lagi jika kita lihat yang Selangor menghadap banyak serangan baik daripada media massa mahupun media arus perdana. Namun, walaupun dengan bantuan media, adalah amat sukar untuk mentafsirkan bagaimana BN mahu merampas kembali Selangor dalam keadaan jentera BN juga tidak jelas akan siapa yang akan menduduki kerusi Menteri Besar Selangor. (Sudah pasti rakyat Selangor tidak mahukan Khir Toyo kembali ke kerusi tersebut).

Di peringkat Persekutuan pula, BN sudah memberikan bermacam-macam gula-gula Pilihanraya kepada pengundi. Insentif seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia, BR1M yang sudah pun memasuki edisi 2.0, Bantuan Lesen 1 Malaysia, BL1M, rebat RM200 telefon pintar dan bermacam-macam lagi sudah pun diberikan atas nama bantuan untuk rakyat. Dan lebih 1.5juta rakyat Malaysia sudah pun menerima manfaat program bantuan tersebut. Namun, walau dengan kesemua gula-gula tersebut, kerajaan masih lagi enggan membubarkan Parlimen. Ia lebih lagi kepada isyarat jelas yang ibarat Perdana Menteri Mohd Najib cuba untuk melengahkan ke saat paling akhir sebelum menghadapi Pilihanraya. Dengan terbubarnya DUN Negeri Sembilan pada 28 Mac 2013, turut akan terbubar dengan sendirinya adalah DUN Pahang iaitu pada 8 April 2013. Apa yang ditunggu sudah pastinya pembubaran Parlimen Malaysia yang ke-12. Jadi bilakah tarikhnya?

Jika dilihat, peluang pertama iaitu akhir Mac sudah pun berlalu. Dengan Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia begitu tegar mahu Pilihanraya dijalankan serentak di seluruh negara, tarikh paling akhir yang perlu dilaksanakan adalah pada 28 Mei 2013. Iaitu tempoh tamatnya talian hayat 60 hari bagi SPR mengumumkan pilihanraya. Dan sudah pastinya tiada tarikh yang paling 'afdal' untuk dijalankan Pilihanraya selain daripada musim cuti sekolah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails