Sudah hampir 2 bulan penulis tidak menukilkan pandangan dan komentar di blog ini. Berkemungkinan komitmen kerjaya dan keluarga agak mengurangkan masa untuk menulis di blog, di samping penulis juga mempunyai melihat yang isu-isu semasa yang diputarkan oleh media massa pada waktu itu agak tidak memerlukan penulis untuk bersuara. Jadi, dengan berpuluh-puluh isu, dan kebanyakan generasi muda juga ada yang bangkit memperjuangkan isu masing-masing sama ada ia untuk kepentingan umum atau untuk kepentingan peribadi (tapi kelihatan seperti untuk kepentingan umum) menyebabkan penulis terfikir, apakah yang ingin penulis perjuangkan? Adakah ingin bersikap mesra kerajaan seperti sekarang ini? Apa yang boleh penulis sumbangkan untuk kepentingan ramai? Selepas lama berfikir, penulis membuat keputusan untuk memperjuangkan MIB iaitu Melayu, Islam, Beraja.
Pertama sekali, MIB ini sebenarnya sudah tidak asing lagi bagi kita sebagai rakyat Malaysia. Ia adalah suatu jatidiri atau matlamat yang sudah lama menjadi panduan bagi negara jiran kita iaitu Brunei Darussalam. Tiga perkara dasar yang menjadi asas kepada jatidiri membangunkan negara iaitu Melayu, Islam dan Raja. 3 perkara asas inilah yang membentuk Brunei kepada sebuah negara yang kaya, aman dan makmur. Dengan Sultan sebagai tonggak negara, Islam sebagai agama rasmi dan juga budaya Melayu, contohnya Bahasa Melayu yang menjadi bahasa rasmi. Bukan iainya tidak diamalkan di Malaysia, namun tidak seperti di Brunei, tiga prinsip ini kelihatan tidak sesubur ataupun mungkin sudah semakin terhakis. Jadi, penulis merasakan terpanggil untuk menyebarkan dan mengukuhkan lagi 3 prinsip ini di bumi Malaysia ini memandangkan Malaysia merupakan negara beraja, dengan Islam sebagai agama rasmi dan Melayu yang merupakan kelompok majoriti.
Jadi ini adalah intipati kepada 3 prinsip ini. Yang pertama adalah Islam. Agama rasmi kepada negara Malaysia. Ajarannya mudah, "Ikut perintah Allah, ikut cara Nabi Muhammad saw". Apa yang menjadi perintah Allah dan ajaran pesuruhnya, itulah yang perlu dilakukan. Buat masa sekarang ini, Malaysia walaupun mengiktiraf Islam sebagai agama rasmi, namun tidak semua elemen-elemen Islam ini diadaptasikan di dalam sistem pemerintahan Malaysia. Buat masa ini, yang paling dikenali adalah sistem perbankan Islam (walaupun masih belum Islam sepenuhnya). Selain itu, seperti sistem ekonomi Islam, sistem perundangan Islam, dakwah Islamiah dan termasuk juga pemerintahan Islam masih jauh lagi daripada tahap yang sepatutnya. Di Malaysia ini, penulis bersetuju untuk menyatakan bahawa satu-satunya negeri yang boleh kita berbangga suburnya institusi Islam ini adalah di Kelantan Darul Naim. Malah, ramai rakan-rakan juga bersetuju jika kita mahu tunjukkan suasana Islam dengan orang Islam dari negara luar contohnya Australia, tempat paling munasib adalah di Kelantan.
Baiklah, prinsip yang kedua ini mungkin agak kontroversi. Perjuangan Melayu. Penulis sedar bahawasanya Melayu ini adalah bangsa, dan jika kita memperjuangkan Melayu, kita memperjuangkan bangsa. Dan, di dalam keadaan negara Malaysia dengan masyarakat majmuk berbilang kaum, adalah amat penting untuk kita bertolak ansur dan tidak terlalu taksub dalam memperjuangkan bangsa ini. Namun, penulis juga tidak bersetuju dengan sistem menang-menang yang diamalkan oleh kerajaan selama ini, kerana inilah punca kenapa kita terperangkap dengan masalah bangsa yang tidak berkesudahan. Contohnya dengan hak istimewa orang Melayu dan sebagainya. Jadi di sini penulis hanya akan tekankan pada satu sahaja iaitu Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan. Bukan menafikan hak bangsa lain, tetapi ianya amat penting untuk masa depan negara Malaysia ini. Sistem pendidikan satu sekolah, dengan bahasa pengantarnya Bahasa Melayu adalah amat berpadanan dengan status Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan. Bagaimana untuk kita dapatkan satu masyarakat yang bersatu padu antara satu sama lain jika bersekolah di sekolah yang berbeza? Melayu di sekolah kebangsaan dan bukan melayu di sekolah jenis kebangsaan? Buatlah kajian jika anda mahu, tapi kesimpulannya akan tetap sama. Ianya mustahil.
Yang terakhir adalah Beraja. Di Malaysia, kita mengamalkan sistem raja berpelembagaan. Mungkin agak sukar untuk ditelan, namun dengan kuasa raja yang sudah berkurangan sekarang ini, amat sukar untuk melihat akan keagungan sistem ini seperti di awal kemerdekaan dahulu. Raja-Raja adalah ketua bagi negeri dan juga negara Malaysia ini. Raja merupakan payung negara dan juga adalah sebagai tempat dan kuasa penentu untuk menjadi penimbang tara kepada Kerajaan yang mentadbir. Jadi dengan kuasa raja yang semakin berkurangan, kerajaan akan menjadi sangat berkuasa dan pastinya akan menjadi semakin sukar untuk dikawal dari hari ke hari. Oleh itu, raja perlu kebal dari segi undang-undang. Mungkin juga ada yang tidak bersetuju dengan saya, menyatakan yang ada juga kerabat diraja yang melanggar peraturan dan undang-undang. Juga seperti isu yang baru-baru ini berlaku apabila ada kerabat diraja bertindak luar kawalan dengan mencederakan orang awam. Jangan risau, penulis akan ulas perkara ini dengan lebih panjang di masa akan datang.
Sekian sahaja daripada penulis di masa ini. Tapi jika penulis mahu menyatakan negeri mana di Malaysia ini yang elemen-elemen MIB ini hidup subur, pastinya di Kelantan. Pelik kan? negeri yang tidak memperjuangkan Melayu, tapi lebih Melayu dari yang lain.
true indeed:)
BalasPadam