Subscribe:

Ads 468x60px

`

Ahad, 29 Julai 2012

Laskar Malaysia di Olimpik 2012


Harapan negara untuk Pingat Emas Pertama Olimpik, itulah impian dan harapan yang digalas oleh atlit-atlit Malaysia yang bertanding di persada Olimpik 2012 yang berlangsung bermula dari 27 Julai sehingga 12 Ogos 2012. Harapan yang menggunung ini bukanlah sesuatu yang mustahil untuk dicapai, kerana Malaysia pernah merangkul pingat di persada Olimpik sebelum ini. Tetapi ianya adalah sesuatu yang subjektif untuk dibicarakan. Adakah ia berkaitan dengan bakat? Adakah ia berkaitan dengan kemahiran? Adakah ia berkaitan dengan kemudahan prasarana sukan? Adakah ia berkaitan dengan pengurusan? Adakah ia berkaitan dengan kerajaan yang memerintah? Kesemuanya sukar untuk dijawab. Namun apa yang pasti, semua di atas mendapat meritnya yang tersendiri apabila pingat berjaya dirangkul.


Semenjak penubuhan Malaysia dari tahun 1963, kontingen Malaysia layak untuk ke semua edisi Sukan Olimpik bermula dari Olimpik 1964. Tahun 1980 adalah satu-satunya tahun di mana Malaysia tidak menyertai Sukan Olimpik. Namun sejarah penyertaan di peringkat Olimpik bermula lebih awal daripada itu. Di mana, kedua-dua Persekutuan Tanah Melayu dan Borneo Utara buat pertama kalinya menyertai Sukan Olimpik pada tahun 1956.

Borneo Utara pernah menyertai pada Olimpik 1956

Namun, bagi Singapura pula, sejarahnya bermula lebih awal iaitu semenjak tahun 1948, dan layak ke semua edisi Olimpik sehingga 1956. Pada tahun 1964 pula, Singapura menyertai di bawah bendera Malaysia. Hanya pada tahun 1968, Singapura menyertai sekali lagi selepas disingkirkan daripada Malaysia. Penyertaan Malaya dan Borneo Utara di peringkat Olimpik sebelum Hari Malaysia 1963 tidak berjaya merangkul sebarang pingat, hanya Singapura yang berjaya merangkul pingat Perak pada tahun 1960 dalam acara angkat berat yang disumbang oleh Tan Howe Liang.

Malaysia setakat ini berjaya merangkul 4 pingat selepas Hari Malaysia 1963, iaitu semuanya dalam acara Badminton. Pingat Pertama Malaysia di persada Olimpik adalah Pingat Gangsa yang disumbangkan oleh gandingan Razif Sidek dan Jalani Sidek dalam acara Beregu Lelaki Badminton ketika Olimpik 1992 Barcelona.


Kejayaan ini disusuli dengan kejayaan merangkul 2 pingat ketika Olimpik 1996 Atlanta, satu pingat Perak disumbangkan oleh gandingan Cheah Soon Kit dan Yap Kim Hock juga dalam acara Beregu Lelaki Badminton, sementara pingat Gangsa disumbangkan oleh Rashid Sidek dalam acara Perseorangan Lelaki Badminton.



Selepas itu bermulalah kemarau panjang Malaysia gagal merangkul sebarang pingat di persada Olimpik selama 12 tahun sehinggalah pada Olimpik 2008 Beijing, di mana satu Pingat Perak dirangkul oleh Datuk Lee Chong Wei dalam acara Perseorangan Lelaki Badminton.


Secara keseluruhan, Malaysia berjaya merangkul 2 Perak dan 2 Gangsa di Persada Olimpik namun belum lagi pernah merangkul sebarang emas. Adakah kilauan emas akan berjaya menjadi milik Malaysia di Olimpik 2012 London ini? Sama-samalah kita melihat prestasi mereka di Sukan yang berprestij ini. Namun, apa yang penting bukanlah berapa banyak kilauan Emas, Perak atau Gangsa yang menjadi ukuran. Tetapi adalah semangat kesukanan dan juga semangat melakukan yang terbaik. Dan bagi Malaysia pula, kita ada satu frasa yang sentiasa menjadi pembakar semangat sejak dahulu lagi... "berfikir boleh melakukan.. fikirkan BOLEH"

MALAYSIA BOLEH!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails