Selamat Datang semua
Pada 28 Julai 2011, tertulisnya dalam lembaran sejarah Malaysia iaitu Malaysia tewas kepada Singapura dengan aggregat 4-6, dan dengan segala hormatnya Malaysia menamatkan perjuangan di dalam kelayakan Piala Dunia 2014. Dengan tewasnya pasukan negara, seluruh lapisan rakyat Malaysia menangisi kegagalan kepada Malaysia untuk ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia. Dan, amat unik jika kita bicarakan di sini, iaitu negara-negara yang akan mewakili Asia Tenggara di kejohanan antarabangsa iaitu Malaysia, Thailand, Indonesia dan Singapura.
Piala Dunia 2014
Singapura setelah berjaya dengan perlawanan menentang Malaysia, meneruskan perjuangan Asia Tenggara di pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia bersama-sama dengan Indonesia dan Thailand. Pasukan Bola Sepak Thailand, yang juga dikenali dengan nama Gajah Perang berjaya ke pusingan ketiga setelah berjaya mengetepikan Palestin dengan aggregat 3-2 setelah seri 2-2 di Stadium Faisal Al-Husaini. Sementara skuad Indonesia yang juga dijulang sebagai skuad Garuda meneruskan perjuangan setelah berjaya mengalahkan Turkmenistan 4-3 dengan aggregat 5-4 di Stadium Gelora Bung Karno. Dan turut bergandingan dengan mereka adalah Skuad Singa dari Singapura yang berjaya mengetepikan Harimau Malaya dengan aggregat 6-4.
Thailand FA, juga dikenali dengan gelaran "The War Elephant"
Indonesia FA, tidak disangkal lagi akan nama Skuad Garuda
Singapore FA, musuh tradisi Harimau Malaya, Sang Singa
Dan perjuangan yang lebih mencabar pastinya menanti bagi ketiga-tiga skuad ini di Pusingan ketiga apabila mereka akan diundi di barisan senarai 20 pasukan dan dimasukkan ke dalam 5 kumpulan. 2 pasukan yang berjaya meletakkan di kedudukan 2 teratas di kumpulan masing-masing akan mara ke pusingan ke-4. Sejauh manakah Skuad Gajah, Singa dan Garuda ini mampu bertahan? Sama-sama kita saksikan.
Kelayakan Olimpik 2012
Walaupun gagal dalam Kelayakan Piala Dunia, Malaysia dengan pasukan Harimau Malaya kini adalah satu-satunya wakil tunggal yang mewakili Asia Tenggara dalam Kelayakan Olimpik 2012. Perlawanan pertama pusingan ketiga akan diadakan pada 21 September 2011 di mana Malaysia akan menentang Jepun. Dan pasukan teratas dalam kumpulan akan melayakkan diri dalam Olimpik 2012, sementara pasukan kedua teratas akan berentap dalam pusingan penentuan dan pemenang akan melayakkan diri ke Kejohanan Olimpik 2012. Walaupun tidak se gah Piala Dunia, namun jika Malaysia mampu untuk meneruskan perjuangan ke Kejohanan Olimpik, ia cukup untuk memberikan harapan baru kepada rakyat Malaysia bahawa mungkin Malaysia akan mampu melayakkan diri lebih jauh pada kelayakan Piala Dunia 2018 di masa akan datang.
Harimau Malaya, wakil tunggal Asia Tenggara di Kelayakan Olimpik 2012
Akhir kata, dengan sokongan rakyat Malaysia yang tidak berbelah bahagi pada perlawanan menentang Singapura pada 28hb Julai yang lepas jelas menunjukkan bahawa Bola Sepak adalah antara platform terbaik untuk menanam semangat patriotik di dalam diri setiap rakyat Malaysia.
Sekian sahaja buat masa ini.
Salam
Tiada ulasan:
Catat Ulasan