Subscribe:

Ads 468x60px

`

Khamis, 2 Februari 2012

Kuasa Ketiga

Selepas dipecat daripada Parti Islam Se-Malaysia (PAS), YB Dr. Hasan Ali telah memulakan kempen jelajahnya untuk memberikan penerangan mengenai 'parasit' di dalam PAS. Dr. Hasan Ali juga menubuhkan satu platform untuknya bergerak dan berjuang iaitu JATI. Tujuan perjuangannya yang utama adalah untuk memperjuangkan syiar Islam, Melayu dan institusi diraja. Ibarat burung yang terlepas daripada sangkar dan tidak terikat dengan mana-mana parti politik sama ada UMNO (BN) atau PAS (PR), Dr. Hasan Ali sekarang ini lantang bersuara kerana kasih sayangnya kepada PAS dan mahu menyelamatkannya daripada serangan 'parasit' yang akan merosakkan parti tersebut. Dr. Hasan Ali sekarang ini sekarang berada dalam kategori BEBAS ataupun ini digelar sebagai Kuasa Ketiga. Apakah Kuasa Ketiga ini?



Kuasa Ketiga ini adalah yang dikatakan sebagai pilihan alternatif sekiranya Kuasa Pertama dan Kedua tidak memberikan kepuasan kepada sesuatu kelompok masyarakat atau golongan. Jika dilihat dari segi sejarah, Malaysia yang menggunakan sistem demokrasi "First past the post" iaitu "Menang ambil semua" dalam sistem pilihanraya amat terdedah kepada senario seperti ini. Iaitu, apabila ada 5 calon bertanding contohnya, calon yang mendapat undi tertinggi akan menang walaupun dia sebenarnya mendapat sokongan kurang daripada 50% pengundi di kawasannya. Ini adalah punca pertama.


Kedua, dalam percubaan untuk mendapatkan mandat seluruh negara, sebuah parti tidak akan mempunyai kekuatan yang cukup apatah lagi di negara berbilang kaum seperti di Malaysia. Oleh itu, mereka memerlukan perikatan dengan parti lain. Ini yang dilakukan pertama sekali oleh UMNO-MCA-MIC dalam pilihanraya pertama pada 1955. Perikatan ini kemudian berkembang menjadi dominan dengan kekuatan-kekuatan parti komponen di dalamnya. Ia sekarang dinamakan Barisan Nasional. Kita namakan ia sebagai Kuasa Pertama. Parti-parti kecil yang lain akan mendapati yang mereka akan semakin sukar untuk menang apatah lagi hanya mendapat undi terbanyak lebih 1 sekalipun tanpa majoriti 50%, calon tersebut akan menang kerusi. Jadi mereka mendapati, tiada kelebihan antara mereka bertanding sesama sendiri jika mahu melawan Kuasa Pertama ini.


Jadi, parti-parti lain juga akan membuat perikatan sesama sendiri untuk membentuk satu pakatan untuk menentang Kuasa Pertama, jadi, mereka tidak akan bertanding sesama sendiri. Kita boleh lihat contoh Kuasa Kedua ini pada 1969, 1990, 1999, dan yang paling berjaya pada tahun 2008. Jadi, selepas berjaya menafikan kuasa pertama, kuasa kedua ini sama ada sedia atau tidak, berjaya membentuk kerajaan masing-masing. Dan sekali lagi, mereka perlu bekerjasama untuk menguruskan kerajaan. Kerjasama ini kita kenali sebagai Pakatan Rakyat. Maka, rakyat melihat sebuah kuasa muncul sebagai ancaman kepada Kuasa Pertama iaitu Kuasa Kedua.


Baiklah, pada waktu ini, BEBAS atau blok yang tidak terikat dengan Kuasa Pertama atau Kedua hanya ada seorang iaitu Ibrahim Ali. Demi survival politiknya, sebuah NGO ditubuhkan iaitu Perkasa sebagai wadah perjuangannya. Blok ini berkembang apabila berlaku pertembungan antara Kuasa Pertama dan Kedua, dan ibarat kaca yang berlanggar antara satu sama lain, yang rapuh akan berpecah dahulu. Itu yang kita lihat apabila seorang demi seorang daripada Kuasa Kedua ini keluar atau dipecat daripada parti. Dan pertambahan blok BEBAS ini buat pertama kalinya memperlihatkan ahli blok BEBAS yang paling ramai dalam sejarah Malaysia di Parlimen. Dan, setiap ahli BEBAS ini mengakui atau menyedari hakikat bahawa, tanpa platform perjuangan, ahli BEBAS ini tidak akan bertahan lama. Sebab itu kita lihat, banyak NGO diasaskan selepas tahun 2008, seperti Perkasa, MCLM, dan lain-lain. Yang terbaru sekarang ini adalah JATI.


Buat masa sekarang ini, kita belum menyaksikan yang ahli-ahli BEBAS ini membuat perikatan antara satu sama lain. Namun apa yang penting, matlamat mereka adalah sama, mereka tidak suka salah satu Kuasa Pertama atau Kedua. Tapi tidak mahu masuk ke salah satu antara mereka. Apa yang dirisaukan sekarang ini adalah, sokongan kepada mereka. Jika mereka tidak berjaya mendapat sokongan, memang pasti trend pengundian akan sama seperti tahun 2008, tidak akan banyak yang berubah. Namun, jika mereka ini boleh mendapat sokongan pengundi.. ia akan memberikan kesan kepada Kuasa Pertama atau Kedua, bergantung kepada siapa yang menyokong mereka.

Jika penyokong kuasa pertama menyokong kuasa ketiga, maka sokongan kepada kuasa pertama akan merosot, dan jika penyokong daripada kuasa kedua menyokong kuasa ketiga ini, sokongan kepada kuasa kedua akan merosot. Dan, yang buruk adalah.. dikhuatiri pihak kuasa pertama atau kedua terpaksa membuat kerajaan campuran dengan kuasa ketiga dalam pilihanraya akan datang jika sokongan kepada mereka kedua-duanya merosot. Namun, segala-galanya hanya spekulasi. Terserah kepada pengundi untuk menentukannya. Apa yang pasti, buat beberapa ketika mungkin trend ini akan berterusan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails