Pusat Konvensyen Shah Alam menjadi saksi akan penubuhan sebuah NGO bernama Pertubuhan Jalur Tiga (JATI). Penubuhan NGO ini yang digerakkan oleh bekas Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali ini telah pun menarik lebih 1,000 orang untuk menyertainya. Matlamat JATI ini tertumpu kepada perjuangan tiga perkara iaitu memartabatkan kedudukan Islam, Melayu dan institusi Raja yang dikenali dengan singkatan IMR. Turut hadir di majlis pelancaran tersebut adalah Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria. Matlamatnya cukup indah dan cantik, iaitu mahu memartabatkan 3 jalur IMR, yang jika didengar pasti mana-mana pihak mahu memperjuangkannya. Namun persoalannya, mampukah untuk JATI mendapat tempat di kalangan rakyat Malaysia?
Sukar untuk kita menilai berapa relevankah atau bagaimanakah kesan pelancaran JATI ini untuk mempengaruhi perjuangan untuk Islam, Melayu dan Raja. Ini kerana ketiga-tiga ini sebenarnya sudah banyak kali dicanangkan oleh mana-mana ahli politik dari mana-mana parti baik dari Barisan Nasional mahupun Pakatan Rakyat. Tapi tidak dinafikan yang penubuhan JATI ini berlangsung dalam keadaan orang Melayu secara amnya berhadapan dengan masalah agama, akidah, syariah dan moral. Seperti yang dikatakan oleh Presiden JATI iaitu Dr Hasan Ali sendiri, pertubuhan itu mempunyai tanggungjawab yang besar dan menjadi pelengkap kepada peranan kerajaan untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi masyarakat khususnya masyarakat Melayu.
Walaupun besar peranan yang perlu dimainkan oleh JATI, ia adalah suatu yang perlu diperjelas mengapa JATI hanya sekadar sebuah pertubuhan bertaraf NGO dan bukannya parti politik? Sedangkan isu yang diperjuangkan bukanlah isu kecil. Ketika mahu memperjuangkan kepentingan Melayu dahulu, UMNO telah ditubuhkan pada tahun 1946 di Istana Besar Johor Bahru. Sementara demi menyambung perjuangan untuk menubuhkan Negara Islam, PAS telah keluar daripada salah satu sayap UMNO untuk menghadapi Pilihanraya Umum 1955. Jadi, memandangkan pertubuhan bertaraf parti politik sendiri pun adakalanya tersasar dalam perjuangan yang menjadi dasar penubuhannya, mampukah sebuah NGO menggalas tanggungjawab ini? Tidakkah ia akan menyebabkan pertembungan di antara NGO lain? Umum mengetahui yang PERKASA juga merupakan sebuah NGO yang berperanan memperjuangkan kepentingan bagi orang Melayu.
Namun, satu keunikannya di sini adalah, sebuah NGO yang memperjuangan kepentingan Melayu juga membuka keahliannya kepada kaum-kaum lain. Di dalam akhbar, perjuangan NGO-NGO yang ditunjangi oleh ahli-ahli politik ini tidak diiktiraf sebagai Kuasa Ketiga, namun penulis merasakan masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan. Apa-apa pun, lihat dan tunggu sahajalah apa peranan yang akan NGO-NGO ini mainkan dalam menghadapi Pilihan Raya yang sudah pastinya semakin menghampiri. Jika mereka gagal dalam ujian di hadapan ini, mereka pastinya tiada jalan lain melainkan tumbang di pertengahan jalan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan