Subscribe:

Ads 468x60px

`

Sabtu, 10 November 2012

Malaysia : 13 Negeri atau 4 Negara? (No.3)

Isu yang penulis huraikan sejak dari 3 minggu yang lepas sudah memasuki ke edisi yang ketiga. Kita sedang menghuraikan tentang Malaysia : 13 Negeri atau 4 Negara?, iaitu untuk mengetahui dan menjelaskan sama ada negara kita ini terdiri daripada 13 buah Negeri atau 4 Negara? (3 Negara setelah ditolak dengan Singapura yang disingkirkan pada 9 Ogos 1965). Kita sudah membincangkan akan perkara-perkara yang mudah seperti maksud tersurat di sebalik Jalur Gemilang dan juga Jata Malaysia. Pada hari ini, penulis akan mengorek lebih dalam akan isu ini iaitu pada Hari Malaysia itu sendiri pada 16 September 1963.

Pengisytiharan Malaysia pada 16 September 1963 oleh Tunku Abdul Rahman juga mempunyai banyak signifikasinya yang tersendiri, namun laungan "Merdeka" oleh Tunku Abdul Rahman pada tahun 1957 lebih popular dan mendapat lebih banyak tempat di ruangan halaman buku sejarah jika dibandingkan dengan hari Malaysia diisytiharkan. Mengapa? Berkemungkinan kerana kekecewaan Tunku Abdul Rahman kerana terpaksa menyingkirkan Singapura. (Atau juga mungkin disebabkan yang 16 September 1963 adalah hari lahir Lee Kuan Yew).


Pada tanggal 16 September 1963, Permashuran Malaysia adalah seperti berikut :-

Dengan nama Allah yang Maha Murah lagi Maha Mengasihani, Segala pujian-pujian bagi Allah Tuhan seru sekalian alam dan Selawat dan Salam bagi junjungan kita Nabi Muhammad dan bagi sekalian keluarga serta sahabat-sahabatnya.

BAHAWASANYA, oleh kerana suatu perjanjian yang diperbuat pada Sembilan haribulan Julai tahun Seribu Sembilan Ratus Enam Puluh Tiga antara Persekutuan Tanah Melayu, United Kingdom, Borneo Utara, Sarawak dan Singapura maka telah dipersetujui bahawa hendaklah disekutukan Negeri Sabah, Negeri Sarawak dan Negeri Singapura dengan Persekutuan Tanah Melayu yang mengandungi Negeri Pahang, Negeri Terengganu, Negeri Kedah, Negeri Johor, Negeri Sembilan, Negeri Kelantan, Negeri Selangor, Negeri Perak, Negeri Perlis, Negeri Pulau Pinang dan Negeri Melaka dan bahawa Persekutuan itu hendaklah dinamakan "Malaysia".

DAN BAHAWASANYA, oleh kerana pihak-pihak dalam perjanjian yang tersebut telah bersetuju bahawa mulai daripada penubuhan Malaysia maka Negeri Sabah, Negeri Sarawak dan Negeri Singapura hendaklah tamat daripada menjadi jajahan takluk Duli Yang Maha Mulia Baginda Queen dan Duli Yang Maha Mulia Baginda Queen tiada lagi mempunyai kedaulatan dan kuasa dalam ketiga-tiga buah negeri itu.

DAN BAHAWASANYA, oleh kerana telah dimasyhurkan suatu Perlembagaan bagi Malaysia yang akan menjadi qanun yang muktamad di dalamnya :

DAN BAHAWASANYA, oleh kerana perlembagaan yang tersebut itu telah diadakan syarat bagi menjaga keselamatan hak-hak dan keutamaan-keutamaan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja serta hak-hak asasi dan kebebasan sekalian rakyat dan bagi menggalakkan keamanan dan kemesraan di dalam Malaysia sebagai kerajaan yang mempunyai raja yang berpelembagaan dan yang berdasarkan demokrasi cara berparlimen. 

DAN BAHAWASANYA, oleh kerana perlembagaan yang tersebut itu telah disahkan oleh suatu undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen Persekutuan Tanah Melayu dan Parlimen United Kingdom maka telah berjalanlah kuat kuasa perlembagaan itu pada Enam Belas Haribulan September Tahun Seribu Sembilan Ratus Enam Puluh Tiga. 

MAKA DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA MURAH LAGI MAHA MENGASIHANI, saya, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Syah, Perdana Menteri Malaysia dengan persetujuan dan perkenan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Yang Terutama Yang Dipertuan Negara Singapura, Yang Terutama Yang Dipertua Negara Sabah, Yang Terutama Gabenor Negeri Sarawak dengan ini mengisytihar dan memasyhurkan bagi pihak umat Malaysia bahawa mulai daripada Enam Belas Haribulan September Seribu Sembilan Ratus Enam Puluh Tiga bersamaan dengan Dua Puluh Lapan Haribulan Rabi'ul Akhir tahun Hijrah Seribu Tiga Ratus Lapan Puluh Tiga, Malaysia yang mengandungi Negeri Pahang, Negeri Terengganu, Negeri Kedah, Negeri Johor, Negeri Sembilan, Negeri Kelantan, Negeri Selangor, Negeri Perak, Negeri Perlis, Negeri Pulau Pinang, Negeri Melaka, Negeri Singapura, Negeri Sabah dan Negeri Sarawak dengan izin dan kehendak Allah Rab' Al-Alamin akan kekal menjadi sebuah Negara Demokrasi yang merdeka lagi berdaulat serta berasaskan kebebasan dan keadilan dan sentiasa mempertahankan serta memelihara keamanan dan kemesraan umatnya dan mengekalkan keamanan di antara segala bangsa di dunia ini. 

Perdana Menteri.



Salinan teks asal Permasyhuran Malaysia dalam Bahasa Melayu ini adalah dalam tulisan jawi yang penulis lampirkan di bawah ini. (Tulaa.. berapa kali cakap belajar tulisan jawi... berapa banyak perkataan Negeri tulis dalam tu.. huhu..)

(tekan untuk besarkan)

Insya-Allah kita akan kupas lagi isu ini di masa akan datang di ruangan yang ke-empat.

Ahad, 4 November 2012

Malaysia : 13 Negeri atau 4 Negara? (No.2)

Pada ruangan yang lepas, penulis sudah menghuraikan sedikit akan apa yang tersurat di sebalik Jata Malaysia untuk mengupas isu sama ada negara kita ini, Malaysia terdiri daripada 13 Negeri atau 4 Negara. Penulis akan menghuraikan dahulu benda-benda yang mudah terlebih dahulu kemudian diikuti dengan perbincangan-perbincangan yang lebih kompleks di masa akan datang.

Selepas Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, Singapura menerima taraf 'Pemerintahan Sendiri' pada tahun 1959. Lee Kuan Yew pada ketika itu mengusulkan untuk menyatukan Singapura dengan Persekutuan Tanah Melayu, namun idea itu tidak dipersetujui beliau sehinggalah tahun 1961. Di mana Tunku Abdul Rahman memutuskan untuk menerima Singapura menyertai persekutuan, dengan tambahan Sarawak, Brunei dan Borneo Utara yang pada ketika itu masih di bawah pentadbiran British. Brunei menarik diri sehari sebelum Perjanjian Malaysia ditandatangani. Jadi selepas 31 Ogos 1963, Sarawak dan Sabah masing-masing sudah menerima kemerdekaan dan berada di dalam status 'Kerajaan Peralihan' sementara menunggu Hari Malaysia pada 16 September 1963.

Photobucket
Persekutuan Tanah Melayu

Sabah

Sarawak

 Singapura
Jadi, daripada bendera-bendera di atas, jika mengikut dakwaan beberapa pihak yang mengatakan Malaysia adalah terdiri daripada 4 Negara ketika 16 September 1963, maka, secara mudahnya bendera Malaysia adalah seperti di bawah. (Sebab kalau ada 4 Negara yang sama taraf, sudah tentulah ada 4 bahagian di bendera Negara tersebut..)



Namun, ianya tidak seperti itu. Bendera Malaysia yang baru diambil sempena bendera Persekutuan Tanah Melayu, dengan tambahan 3 lagi jalur dan 3 bucu pada bintang yang digelar sebagai 'Bintang Persekutuan'.

 Flag of Malaysia

Satu lagi bukti jelas yang menyatakan bahawa Malaysia adalah terdiri daripada 14 Negeri ketika Hari Malaysia namun hanya menjadi 13 selepas Singapura disingkirkan pada tahun 1965. Tempatnya diganti dengan Wilayah Persekutuan yang ditubuhkan pada tahun 1970.

Sampai di sini sahaja untuk kali ini. Insya Allah kita akan bersambung di ruangan yang lain untuk mengupas lebih dalam akan isu ini.

Sabtu, 27 Oktober 2012

Malaysia ; 13 Negeri atau 4 Negara? (No. 1)

Sebagai seorang yang meminati sejarah, penulis memang suka membaca dan menganalisa pendapat-pendapat sejarawan dan juga ahli-ahli politik dari sejak di bangku sekolah lagi. Malahan, tidak terlalu melampau jika dikatakan yang sejarah Malaysia ini amat kompleks untuk dirungkai walaupun Malaysia baru sahaja 49 tahun ditubuhkan. (Jika dikira daripada tarikh Hari Malaysia iaitu 16 September 1963.) Jika anda seorang yang melihat dan menganalisa situasi semasa tanah air, pasti anda akan mendapati yang terdapat momentum yang sedang meningkat apabila terdapatnya perbincangan terbuka tentang negara kita ini, Malaysia. Antara yang senang untuk dilihat ialah seperti Tarikh kemerdekaan Malaysia, Taraf negeri-negeri di dalam Malaysia dan juga hak-hak Negeri-negeri Borneo. Untuk perbincangan kali ini, penulis hanya akan membincangkan akan isu "Malaysia : 13 Negeri atau 4 Negara?"

Pertama sekali, bila anda katakan tentang Malaysia, negara kita ini adalah :-
i) Negara Persekutuan
ii) Negara beraja berpelembagaan
iii) Ditubuhkan pada 16 September 1963.

Benda di atas ini adalah benda yang paling mudah untuk diingat. Tetapi terdapat juga benda yang kompleks untuk dihurai iaitu taraf negeri-negeri di dalam Malaysia. Adakah Malaysia terdiri daripada 13 Negeri sekarang ini ataupun terdiri daripada 4 negara? Persoalan ini timbul disebabkan penjajahan British dan juga sistem pemerintahan mereka yang kompleks. Ini kerana, ketika Hari Malaysia, Sabah, Sarawak dan Singapura sudah pun menerima kemerdekaan masing-masing sebelum itu lagi. Jadi mereka semua digelar sebagai "The New States". Masalah dengan bahasa Inggeris adalah State membawa kedua-dua maksud sebagai Negeri/Negara. Jadi, sebab itulah ramai pihak sekarang mendakwa bahawa gelaran Negeri yang digunapakai di Sarawak dan Sabah sekarang sebagai merendahkan darjat mereka. Kerana, pada pendapat mereka Sabah dan Sarawak mempunyai darjat yang sama dengan keseluruhan Persekutuan Tanah Melayu. (Atau dengan lain perkataan, negeri-negeri di Semenanjung Malaysia sama taraf dengan bahagian-bahagian di Sabah dan Sarawak.)

Jadi, adakah Malaysia terdiri daripada 4 Negara? Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sabah dan Sarawak? Bagi pandangan peribadi penulis, jika ini adalah kenyataannya, sepatutnya ianya sudah lama ditulis dalam Perlembagaan Malaysia dan bukan hanya timbul kontroversi di kebelakangan ini. Paling mudah adalah jata Malaysia sendiri.

Ok, jika kita lihat contoh terbaik seperti di bawah ini. Penulis mendapati yang apa yang pihak-pihak ini tuntutkan agar Malaysia terdiri daripada 4 Negara ini amat hampir dengan dalam apa yang ada dalam siri fenomena 1 Dunia iaitu Harry Potter. Sekolah di mana Harry Potter belajar iaitu Hogwarts School of Witchcraft and Wizardry ditubuhkan oleh 4 pengasas yang pada waktu itu adalah ahli sihir terhebat di zamannya iaitu Godric Gryffindor, Rowena Ravenclaw, Helga Hufflepuff dan Salazar Slytherin. Setiap 4 ini mempunyai taraf yang sama di Hogwarts. Cuba anda lihat jata sekolah tersebut.


Sekarang, cuba bandingkan jata sekolah itu dengan Jata Malaysia.


Jelas sekali kan? Yang Malaysia sememangnya terdiri daripada 14 Negeri sewaktu awal penubuhannya pada 16 September 1963. Namun sekarang cuma tinggal 13 Negeri selepas Singapura disingkirkan pada tahun 1965.

Photobucket

Insya Allah kita akan bersambung di ruangan akan datang untuk menerangkan lebih lanjut tentang isu ini.
Salam.

Isnin, 1 Oktober 2012

Pilihlah Jalur Gemilang



Ramai di antara kita sudah mendengar akan isu ini, sama ada ianya isu remeh atau isu yang sengaja disensasikan oleh media arus perdana, itu terserah kepada pandangan peribadi individu itu untuk mentafsirkannya. Namun, apa yang penulis hendak katakan di ruangan ini adalah berkaitan dengan simbol sebuah negara yang berdaulat apatah lagi ianya berkaitan dengan maruah negara kita yang tercinta ini iaitu Malaysia. Terdapatnya gerakan yang cuba untuk menukar bendera Malaysia iaitu Jalur Gemilang kepada bendera lain yang mirip rupanya dengan bendera negara jiran kita iaitu Indonesia dan Singapura. Bendera tersebut dinamakan Sang Saka Malaysia.


Tidak diketahui apa tujuan pihak tertentu mengibarkan bendera ini di Sambutan Hari Kebangsaan 2012 pada 31 Ogos yang lepas. Namun, apa yang pasti, bendera tersebut tidak membawa sebarang signifikasi kepada situasi Malaysia sekarang ini. Ada yang mengatakan, ianya adalah untuk mengingatkan kepada rakyat Malaysia bahawa, ianya bendera asal Tanah Melayu sewaktu perjuangan nenek moyang kita selepas Perang Dunia II. Ada yang mengatakan, Sang Saka ini adalah simbol identiti Rumpun Melayu di Nusantara. Ada juga yang mengatakan bendera ini adalah bendera asal Tanah Melayu.

Walau apa pun alasan mereka, haruslah diingat bahawa semenjak tahun 1956, rakyat Tanah Melayu telah pun mengundi di Malay Mail pada waktu itu yang mahukan rekaan Mohamad Hamzah, arkitek Melayu yang berasal dari Johor sebagai bendera tanah air yang baru. Dan pada tahun 1963, bendera yang sama juga dipilih menjadi bendera Malaysia, dengan tambahan bucu bintang persekutuan dan jalur merah putih sebanyak 14 bilangannya. Itulah bendera Tanah Melayu dan yang penting sekali, itulah lambang Malaysia sebagai sebuah negara yang berdaulat. 

Akhir kata... pilihlah JALUR GEMILANG.

Sabtu, 18 Ogos 2012

Tahniah buat Pandelela


Olimpik London 2012 sememangnya memberikan makna kepada skuad Malaysia yang bertanding. Skuad Malaysia hampir berjaya merangkul emas pertama dalam acara badminton, namun ditakdirkan yang Lee Chong Wei tewas di tangan Lin Dan di pusingan akhir acara perseorangan lelaki Badminton. Namun, kesedihan tersebut diubat dengan kejayaan Pandelela Rinong, seorang atlit Malaysia kelahiran Sarawak merangkul pingat gangsa dalam acara terjun 10m. Kejayaan ini melakar banyak rekod dalam penyertaan Malaysia dalam arena Olimpik. Atlit wanita pertama yang berjaya merangkul pingat dan pada masa yang sama, pingat pertama yang dirangkul Malaysia selain daripada acara Badminton. Jadi siapakah Pandelela Rinong ini?

Ahad, 29 Julai 2012

Laskar Malaysia di Olimpik 2012


Harapan negara untuk Pingat Emas Pertama Olimpik, itulah impian dan harapan yang digalas oleh atlit-atlit Malaysia yang bertanding di persada Olimpik 2012 yang berlangsung bermula dari 27 Julai sehingga 12 Ogos 2012. Harapan yang menggunung ini bukanlah sesuatu yang mustahil untuk dicapai, kerana Malaysia pernah merangkul pingat di persada Olimpik sebelum ini. Tetapi ianya adalah sesuatu yang subjektif untuk dibicarakan. Adakah ia berkaitan dengan bakat? Adakah ia berkaitan dengan kemahiran? Adakah ia berkaitan dengan kemudahan prasarana sukan? Adakah ia berkaitan dengan pengurusan? Adakah ia berkaitan dengan kerajaan yang memerintah? Kesemuanya sukar untuk dijawab. Namun apa yang pasti, semua di atas mendapat meritnya yang tersendiri apabila pingat berjaya dirangkul.

Sabtu, 21 Julai 2012

22 Julai ; Hari Kemerdekaan Sarawak




Pastinya ramai di antara kita mengetahui akan tarikh keramat 31 Ogos 1957 dan juga 16 September 1963. Itu adalah dua hari kebangsaan yang disambut di Malaysia. 31 Ogos adalah sambutan Hari Kebangsaan sementara 16 September adalah sambutan Hari Malaysia, hari di mana Sabah, Sarawak dan Singapura (Negeri-negeri Baru) bersekutu dengan 11 buah negeri Persekutuan Tanah Melayu (Malaya). Namun, pastinya bila diberitahu akan tarikh 22 Julai iaitu esok, pasti ramai yang tidak mengetahuinya jika diberitahu bahawa ianya adalah tarikh kemerdekaan Sarawak pada tahun 1963. Tidak seperti Sabah dan Singapura yang menerima taraf pemerintahan sendiri sebelum Hari Malaysia, Sarawak telah pun menerima kemerdekaan penuh sebelum Hari Malaysia. Ianya telah pun diberikan pada Sarawak pada tanggal 22 Julai 1963. Bagaimanakah Sarawak diberikan taraf kemerdekaan?

Selasa, 15 Mei 2012

Kemunculan gerakan anti-raja?


Pada 28 April 2012 yang lepas, negara kita telah menyaksikan akan demonstrasi jalanan BERSIH edisi yang ketiga, sama dengan namanya iaitu BERSIH 3.0. Gerakan ini begitu tegar untuk memperjuangkan Sistem Pilihanraya yang bersih di negara Malaysia ini. Satu gerakan yang boleh dipuji kerana mempunyai niat yang begitu murni. Tetapi di sebalik niat yang murni ini, ada satu sisi gelap yang ibarat menceritakan agenda di sebalik demonstrasi ini. Apatah lagi mereka ini begitu tegar membuat demonstrasi jalanan semenjak BERSIH, BERSIH 2.0 dan BERSIH 3.0 menyaksikan selang masa yang begitu singkat. Adakah benar mereka memperjuangkan pilihanraya yang bersih atau ada benda yang mereka cuba perjuangkan di sebalik nama BERSIH? Cuba lihat gambar di bawah ini.


Rabu, 9 Mei 2012

Nik Abdul Aziz bapa segala kafir? Na'uzubillah


Heboh medan lama sesawang akan berita ini dah pastinya sudah tidak asing lagi. Ianya bermula apabila mantan Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor melabelkan ulama terkenal tanah air dan juga Menteri Besar Kelantan yang sedang mentadbir, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz bin Nik Mat sebagai 'father of kafir' atau dalam Bahasa Melayunya adalah 'Bapa segala Kafir'. Dan kemudian laporan ini telah dimuatkan ke dalam dada akhbar New Straits Times di muka 6. Secara jelas perkara ini lahir disebabkan oleh perbezaan pandangan dan aliran politik. Terutama sekali dengan seorang Ulama yang memegang jawatan Mursyidul Am Parti Islam se-Malaysia (PAS), pastinya mereka yang berbeza aliran politik dengan PAS tidak akan menerima atau teruk, membangkang aliran politik masing-masing. Namun, jika kita ketepikan pandangan politik dan memikirkan perkara ini dari segi akhlak seorang Islam, adakah ini perlu?

Khamis, 19 April 2012

Melayu, Islam, Beraja



Sudah hampir 2 bulan penulis tidak menukilkan pandangan dan komentar di blog ini. Berkemungkinan komitmen kerjaya dan keluarga agak mengurangkan masa untuk menulis di blog, di samping penulis juga mempunyai melihat yang isu-isu semasa yang diputarkan oleh media massa pada waktu itu agak tidak memerlukan penulis untuk bersuara. Jadi, dengan berpuluh-puluh isu, dan kebanyakan generasi muda juga ada yang bangkit memperjuangkan isu masing-masing sama ada ia untuk kepentingan umum atau untuk kepentingan peribadi (tapi kelihatan seperti untuk kepentingan umum) menyebabkan penulis terfikir, apakah yang ingin penulis perjuangkan? Adakah ingin bersikap mesra kerajaan seperti sekarang ini? Apa yang boleh penulis sumbangkan untuk kepentingan ramai? Selepas lama berfikir, penulis membuat keputusan untuk memperjuangkan MIB iaitu Melayu, Islam, Beraja.

Jumaat, 24 Februari 2012

Kerajaan Kedah ; Bergolak?


Kerajaan Kedah yang sekarang ini diperintah oleh Pakatan Rakyat dengan majoriti perwakilan adalah dari Parti Islam Se-Malaysia (PAS). Maka, Menteri Besarnya juga dipilih daripada PAS iaitu Datuk Seri Azizan Abd Razak. Bukan sahaja Kedah, Pakatan Rakyat juga sekarang ini memegang kuasa di Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor. Hari ini, kebanyakan ruang di media massa penuh dengan berita akan negeri-negeri ini. Namun, di antara semua isu ini, Penulis amat tertarik untuk mengikuti perkembangan akan negeri di utara, Kedah Darul Aman. Persoalan menarik untuk dijawab, adakah Kerajaan Negeri Kedah bergolak?

Rabu, 22 Februari 2012

Pelancaran JATI


Pusat Konvensyen Shah Alam menjadi saksi akan penubuhan sebuah NGO bernama Pertubuhan Jalur Tiga (JATI). Penubuhan NGO ini yang digerakkan oleh bekas Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali ini telah pun menarik lebih 1,000 orang untuk menyertainya. Matlamat JATI ini tertumpu kepada perjuangan tiga perkara iaitu memartabatkan kedudukan Islam, Melayu dan institusi Raja yang dikenali dengan singkatan IMR. Turut hadir di majlis pelancaran tersebut adalah Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria. Matlamatnya cukup indah dan cantik, iaitu mahu memartabatkan 3 jalur IMR, yang jika didengar pasti mana-mana pihak mahu memperjuangkannya. Namun persoalannya, mampukah untuk JATI mendapat tempat di kalangan rakyat Malaysia?

Khamis, 16 Februari 2012

Antara Israel dan Palestin

Beberapa hari yang lepas kita sudah menyaksikan yang Mursyidul Am Pas, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz bin Nik Mat telah pun bersuara mengenai isu sokongan Anwar Ibrahim kepada Israel dan melalui mesyuarat dengan Majlis Syura PAS telah menyarankan kepada Anwar Ibrahim supaya menarik balik kenyataannya atau menyaman Wall Street Journal (WSJ). Anwar Ibrahim pula menyatakan yang dia akan mengulas lanjut akan perkara ini selepas dia pulang ke Malaysia tidak lama lagi. Namun, bukan isu antara Nik Aziz dan Anwar Ibrahim yang mahu penulis bincangkan pada isu kali ini, tetapi berkenaan pendirian umum mengenai isu Israel dan Palestin.

Sabtu, 11 Februari 2012

Anwar Ibrahim dan Isu Yahudi

Nampaknya masih tidak selesai lagi isu berkaitan Ketua Pembangkang di Parlimen, Anwar Ibrahim. Ketika pembukaan tahun 2012, kita melihat perkembangan isu liwatnya sehingga sebahagian penyokong Pakatan Rakyat turun berkumpul di hadapan Istana Kehakiman untuk 'memperjuangkan' keadilan baginya. Selepas selesai isu tersebut, nampaknya memang jelas ada pihak cuba sekali lagi tidak mahu membiarkan isu Anwar Ibrahim senyap begitu sahaja di mata rakyat. Sekarang ini, Anwar Ibrahim dikaitkan pula dengan isunya mahu memperjuangkan keselamatan sebuah negara bernama Israel. Persoalannya sekarang, mengapa?

Khamis, 2 Februari 2012

Kuasa Ketiga

Selepas dipecat daripada Parti Islam Se-Malaysia (PAS), YB Dr. Hasan Ali telah memulakan kempen jelajahnya untuk memberikan penerangan mengenai 'parasit' di dalam PAS. Dr. Hasan Ali juga menubuhkan satu platform untuknya bergerak dan berjuang iaitu JATI. Tujuan perjuangannya yang utama adalah untuk memperjuangkan syiar Islam, Melayu dan institusi diraja. Ibarat burung yang terlepas daripada sangkar dan tidak terikat dengan mana-mana parti politik sama ada UMNO (BN) atau PAS (PR), Dr. Hasan Ali sekarang ini lantang bersuara kerana kasih sayangnya kepada PAS dan mahu menyelamatkannya daripada serangan 'parasit' yang akan merosakkan parti tersebut. Dr. Hasan Ali sekarang ini sekarang berada dalam kategori BEBAS ataupun ini digelar sebagai Kuasa Ketiga. Apakah Kuasa Ketiga ini?

Selasa, 31 Januari 2012

Tepung Cap Sauh ; Halal atau Tidak?


Penulis pertama kali mendapat tahu akan berita ini sejak sebelum perayaan Tahun Baru Cina. Berita ini telah tersebar dengan agak pantas juga, termasuk juga berita ini telah diedarkan dalam risalah-risalah ke rumah-rumah di kawasan perjiranan penulis. Agak kecoh juga buat sementara waktu. Masakan tidak, apa perasaan anda jika bahan-bahan dapur yang selalu digunakan untuk membuat masakan-masakan seharian seperti Tepung Cap Sauh adalah daripada bahan yang haram? Bukan sekadar itu sahaja, antara produk lain adalah Minyak masak Seri Murni.

Khamis, 26 Januari 2012

Ulang tahun pertama Revolusi Mesir


Semalam, penduduk Mesir menyambut ulang tahun pertama Revolusi Mesir di Dataran Tahrir. Revolusi Mesir tercetus pada 25 Januari 2011 untuk menggulingkan kepimpinan Hosni Mubarak, diinspirasikan daripada Revolusi Jasmin di negara jirannya iaitu Tunisia. Pada masa itu, rakyat Mesir bangkit mengadakan bantahan di jalan raya mendesak perubahan demokrasi dan penyingkiran Mubarak. Pada tarikh tersebut juga, pemerintahan junta tentera di Mesir merancang untuk mengadakan sambutan besar-besaran dan aktivis pula berikrar untuk menghidupkan semula revolusi yang masih belum selesai. Sejauh manakah kejayaan Revolusi Mesir ini?

Selasa, 10 Januari 2012

Adam Adli digantung 3 semester

Jika semalam Anwar Ibrahim dibebaskan oleh mahkamah, pada hari yang sama juga Adam Adli, seorang pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah digantung daripada pengajian selama 3 semester kerana mencemar nama baik universiti. Adam Adli merupakan pelajar semester kelima dalam bidang Pengajian Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL) dan sepatutnya hanya berbaki 1 lagi semester untuk menamatkan pengajiannya. Apakah kesalahan Adam Adli sehingga dia digantung pengajian?

Isnin, 9 Januari 2012

Keputusan perbicaraan Anwar

Photobucket

Hari yang ditunggu-tunggu akhirnya tiba. 9 Januari 2012 merupakan hari penentuan kepada kes Anwar Ibrahim atas pertuduhan liwat terhadap Saiful Bukhari. Dan di dalam kes ini, Anwar Ibrahim mengaku tidak bersalah terhadap segala pertuduhan meliwat Saiful Bukhari di Kondominium Desa Damansara di Bukit Damansara di antara 3.10 petang hingga 4.30 petang pada 26 Jun 2008. Beliau didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Dan, pada hari ini mahkamah mengesahkan bahawa Anwar Ibrahim tidak bersalah atas tuduhan kes liwat Saiful Bukhari. Memandangkan ianya telah diputuskan oleh mahkamah, tiada apa yang boleh dilakukan melainkan menerima kes tersebut dengan hati terbuka. Di bawah ini adalah perhimpunan 901 yang dianjurkan untuk memberikan sokongan kepada Anwar Ibrahim.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails